
Ini susulan keputusan mahkamah yang membenarkan kerajaan mengemaskini dokumen rayuan walaupun lewat difailkan.
Hakim Azimah Omar yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, kelewatan itu tidak memprejudiskan responden, iaitu keluarga Koh, dalam rayuan tersebut. Bagaimanapun, tarikh bagi pendengaran rayuan akan ditetapkan kemudian.
Turut menganggotai panel itu ialah Hakim Wong Kian Kheong dan Hakim Ismail Brahim.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan menyerahkan salinan laporan pasukan petugas khas itu kepada isteri Koh, Susanna Liew, atas alasan laporan tersebut relevan dalam saman yang sedang berjalan terhadap kerajaan dan polis berhubung kehilangan Koh.
Mahkamah berkata kerajaan gagal memberikan justifikasi mengapa laporan tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia.
Dalam permohonannya, Liew berkata keluarganya mempunyai hak untuk mengetahui hasil siasatan pasukan khas mengenai kehilangan Koh.
Pada 2020, beliau memfailkan saman terhadap polis, ketua polis negara dan beberapa bekas pegawai kanan polis berhubung kehilangan Koh.
Liew mahu pihak berkuasa dipertanggungjawabkan atas kehilangan paksa itu, serta salah guna kuasa dalam jawatan awam. Beliau juga menuntut ganti rugi atas kehilangan suaminya.
Keputusan saman tersebut ditetapkan pada 5 Nov, iaitu pada hari yang sama dengan keputusan kes lain melibatkan aktivis Amri Che Mat yang juga hilang, di mana keluarganya juga menyaman kerajaan dan polis.
Suhakam mengadakan siasatan awam mengenai kehilangan Koh dan aktivis Amri Che Mat antara 2017 dan 2019.
Ia menyimpulkan bahawa Koh dan Amri adalah mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh kerajaan, khususnya oleh Cawangan Khas polis.
Kementerian Dalam Negeri kemudian menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kesimpulan Suhakam tersebut.