Wakil PN gesa kerajaan jelaskan pelaksanaan syor tambah baik pilihan raya

Wakil PN gesa kerajaan jelaskan pelaksanaan syor tambah baik pilihan raya

Pada Ogos 2020, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya menyerahkan 49 syor tambah baik sistem pengundian kepada kerajaan.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata pilihan raya proses terpenting dalam menegakkan demokrasi yang memberi manfaat kepada rakyat.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen meminta kerajaan menjelaskan status pelaksanaan syor tambah baik pengundian dicadangkan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata jawatankuasa diketuai bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ab Rashid Ab Rahman itu ditubuhkan pada Ogos 2018 susulan desakan rakyat yang semakin tidak percaya kepada institusi pengurusan pilihan raya.

Menurutnya, ERC diberi tempoh dua tahun untuk mengkaji sistem sedia ada dengan membandingkannya dengan amalan demokrasi maju, mendapat pandangan pakar, sesi libat urus dan penyelidikan serta mencadangkan pindaan untuk menambah baik perjalanan pilihan raya supaya proses demokrasi lebih matang.

“Saya difahamkan jawatankuasa itu telah menyampaikan laporannya kepada kerajaan sebaik saja tempoh masanya selesai.

“Apakah status laporan jawatankuasa tersebut? Berapa banyak syor telah dikemukakan dan apakah tindakan kerajaan ke atasnya?,” katanya dalam perbahasan laporan Suhakam 2023 di Dewan Rakyat.

Pada Ogos 2020, jawatankuasa terbabit menyerahkan 49 syor untuk penambahbaikan sistem pilihan raya kepada Putrajaya yang ketika itu diketuai Muhyiddin Yassin.

Menurut ERC, syor tambah baik itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga 10 tahun untuk dilaksanakan jika diterima.

Antara syor jawatankuasa itu termasuk memberi lebih kuasa kepada SPR sebagai badan bebas mengawal selia parti politik, penubuhan Suruhanjaya Sempadan Pilihan Raya dan penetapan tarikh pembubaran Parlimen serta DUN enam bulan sebelum tarikh sebenar.

Saifuddin yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan pilihan raya lebih baik adalah hak asasi terpenting sivil dan politik.

“Pilihan raya proses terpenting dalam menegakkan demokrasi yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Demokrasi sedemikian hendaklah memenuhi lima prinsip utama pilihan raya, iaitu bebas, telus, berintegriti, cekap dan adil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.