Laksana kempen antibuli secara menyeluruh, titah Agong

Laksana kempen antibuli secara menyeluruh, titah Agong

Baginda bertitah budaya buli jika tidak dibendung dari sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Istana Negara. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bagi membendung gejala itu sejak di peringkat sekolah rendah.

Sultan Ibrahim bertitah, budaya buli jika tidak dibendung sejak peringkat sekolah rendah berisiko melahirkan generasi yang hilang nilai hormat dan kasih sayang sesama insan.

“Buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh mengakibatkan pelbagai tragedi.

“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak dari usia kecil mengenai perkara ini dan menerusi kempen berkenaan akan membimbing mereka dalam memahami erti saling hormat- menghormati dan berdisiplin,” titah baginda di Facebook.

Sultan Ibrahim bertitah, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 untuk menangani buli turut membuktikan komitmen kerajaan membanteras isu berkenaan secara tegas.

“Usaha berkenaan turut memerlukan pendekatan merentasi kementerian dan agensi bagi memastikan jenayah buli ditangani secara menyeluruh,” titah baginda.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Istana Negara.

Jurucakap kerajaan itu turut mempersembahkan komitmen kementerian dalam menangani isu buli serta tindakan yang diambil bagi membanteras isu berkenaan, selain taklimat pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.