Lelaki dibenar rayu sabitan cuba peras ugut anak Pastor Koh

Lelaki dibenar rayu sabitan cuba peras ugut anak Pastor Koh

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan benar permohonan Lam Chang Nam atas satu persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan ketika bicara penuh.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Lam Chang Nam hari ini dianggotai oleh Mohamed Zaini Mazlan, Noorin Badaruddin dan Mohd Radzi Abdul Hamid.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan seorang bekas pemandu e-panggilan merayu sabitan cuba memeras ugut RM30,000 daripada anak Pastor Raymond Koh serta hukuman denda RM7,000 atau penjara 18 bulan ke atasnya.

Panel tiga hakim diketuai Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Lam Chang Nam atas satu persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan semasa perbicaraan penuh, lapor Bernama.

Panel yang turut dianggotai Hakim Noorin Badaruddin dan Mohd Radzi Abdul Hamid itu membenarkan permohonan selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju menyerahkan persoalan undang-undang untuk ditentukan.

Persoalan undang-undang tersebut adalah sama ada penyertaan peruntukan Seksyen 511 Kanun Keseksaan dalam tuduhan bagi kesalahan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan, yang dengan sendirinya memperuntukkan percubaan untuk melakukan pemerasan, menjadikan tuduhan tersebut cacat apabila tuduhan itu turut menyatakan ‘telah melakukan pemerasan’

Pada 24 Mac 2023, Mahkamah Majistret Petaling Jaya mendapati Lam bersalah kerana cuba memeras ugut RM30,000 daripada anak Koh, yang hilang sejak Februari 2017, kononnya untuk membebaskan bapanya.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Kelana Jaya, Selangor pada 9.46 malam, 6 Mac 2017.

Permohonan rayuan Lam terhadap sabitan dan hukumannya ditolak Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Mei tahun ini, mendorongnya untuk membawa kes ke Mahkamah Rayuan.

Lam, 39, didakwa di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama.

Susulan kes dari Mahkamah Majistret, Lam dikehendaki oleh undang-undang untuk mendapatkan kebenaran sebelum meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu ketika ditanya oleh Noorin semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee menjelaskan, Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang secara khusus menangani kesalahan cubaan melakukan jenayah, termasuk dalam tuduhan kerana perkataan ‘melakukan pemerasan’ digunakan dalam kertas pertuduhan.

Katanya, timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraan di Mahkamah Majistret tidak meminda tuduhan dengan betul dengan memasukkan ‘cubaan memeras ugut’, sebaliknya memasukkan peruntukan Seksyen 511 dalam kertas pertuduhan untuk merangkumi unsur percubaan.

Pada 8 Feb 2021, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Lam daripada tuduhan berasingan menculik Koh selepas pihak pendakwaan menarik balik tuduhan itu.

Bagaimanapun, tuduhan cubaan memeras ugut diteruskan.

Dalam prosiding hari ini, Lam diwakili peguam M Manoharan dan M Hariharan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.