
Beliau berkata, keraguan dalam kalangan orang Melayu timbul susulan isu kebelakangan ini seperti pembatalan cuti Thaipusam negeri oleh kerajaan Kedah yang diterajui PAS, kenyataan berhubung komuniti LGBT, dan kemunculan semula gesaan supaya meminda undang-undang shariah.
Tawfik, yang merupakan bekas ahli Umno, bersetuju dengan gesaan anak bekas perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein, Nazir Razak, baru-baru ini, agar skrip baharu untuk Malaysia, yang menyaksikan kontrak sosial baharu digubal bagi memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dari segi ekonomi, politik dan sosial.
Tawfik berkata, orang Melayu merupakan masyarakat yang bertoleransi, tetapi PAS dan beberapa pihak lain menyebabkan mereka mengetepikan perkara itu.
Selain itu katanya, parti Islam itu juga berusaha untuk menghapuskan kecenderungan orang Melayu untuk menyerap dan menyesuaikan budaya asing ke dalam amalan kebudayaannya.
“PAS dan dasar destruktifnya terhadap budaya mendorong orang Melayu yang progresif berpaling daripada postur politik yang menggunakan Islam, dan menyebabkan mereka mempersoalkan hala tuju negara dan orang Melayu,” katanya kepada FMT.
Tawfik berkata, penyertaan Nazir dalam webinar mengenai perpaduan sosial Malaysia pada 20 Jan lepas, dan gesaan supaya ditetapkan semula interaksi sosial mencerminkan pemikiran ramai orang Melayu yang berasa tidak senang dengan politik Melayu.
Katanya lagi, persoalan tertentu perlu diajukan, termasuk mengapa masyarakat Melayu didiskriminasi di negara yang dipimpinnya ke arah kemerdekaan, dengan gesaan ke arah hukuman lebih berat di Mahkamah Syariah oleh masyarakatnya sendiri.
“Mengapakah kumpulan ekstrem agama seperti PAS subur dalam persekitaran yang dipupuk pada tahun-tahun awal kemerdekaan oleh golongan liberal dan progresif sederhana seperti Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein dan Dr Ismail Abdul Rahman?” soal Tawfik yang merupakan anak Ismail.
“Mengapakah waris mereka dalam Umno mengikut rentak PAS? Mengapakah kemajuan orang Melayu hanya diukur dari segi agama ketika kekuatan ekonomi mereka masih di belakang bangsa lain?”
Beliau berkata, ketidakseimbangan kedudukan ekonomi, walaupun dengan kewujudan Dasar Ekonomi Baru, jelas menunjukkan salah arah dalam dasar dan ketidaksejajaran dalam penetapan dan pelaksanaan matlamat.
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, dalam pembentukan skrip baharu, isu tertentu perlu diberikan perhatian.
Cara ahli politik yang cuba menjadi lebih Islam berbanding orang Islam lain, atau lebih orang Cina dan India dan cuba mengambil peranan mempertahankan komuniti mereka adalah sesuatu yang patut dibimbangkan.
Kata Michael, politik perkauman di negara ini berada pada tahap “toksik”.
Beliau berkata, mana-mana parti politik atau ahli politik sekarang cuba membuktikan bahawa mereka lebih Melayu, Cina atau India berbanding orang lain.
Ini mengakibatkan mereka bersikap “berlebih-lebihan dan terlalu banyak memainkan isu halangan yang dihadapi masyarakat mereka”.
Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput itu berkata, politik perkauman perlu berakhir sebelum Malaysia bersedia memikirkan skrip baharu.
Devaraj juga menyentuh isu “persaingan mudarat” dalam kalangan negara Asean. Katanya, Malaysia tidak menaikkan cukai kerana bimbang pelabur akan berpindah ke negara jiran yang lebih murah.
“Kita terperangkap. Tidak dapat menaikkan cukai ke atas pelabur asing untuk meningkatkan sistem kebajikan negara,” katanya, dan menambah semua negara Asean mesti bersetuju untuk menaikkan cukai dan meningkatkan gaji minimum untuk menjadi makmur.
Malaysia juga perlu mengkaji semula projek penswastaan kerana ia mungkin tidak beri banyak manfaat kepada negara, katanya.

Pakar sejarah Teo Kok Seong berkata, Malaysia perlu menghalang ahli politik seperti menteri besar Kedah daripada memecah belahkan rakyat.
“Ahli politik tidak boleh mengambil pendirian sebegitu rasis kerana mereka juga mewakili semua kaum.
“Ini menimbulkan persepsi buruk terhadap Sanusi dan partinya,” katanya, merujuk kepada keputusan Sanusi untuk tidak memberikan cuti sempena Thaipusam tahun ini.