RM6,000 tak cukup, kerajaan digesa naik geran KRT RM12,000

RM6,000 tak cukup, kerajaan digesa naik geran KRT RM12,000

Gesaan dibuat kerana peruntukan RM6,000 dianggap tidak mencukupi untuk kawasan rukun tetangga melaksanakan program kemasyarakatan.

logo baru KRT
Kementerian Perpaduan Negara diminta menyatakan program disusun untuk membantu kawasan rukun tetangga tidak aktif termasuk dalam menarik penglibatan golongan muda.
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara digesa menaikkan kadar geran kawasan rukun tetangga (KRT) yang aktif dan cemerlang kepada RM10,000 hingga RM12,000 setahun sebagai usaha memperkasakan peranan komuniti dalam memupuk perpaduan dan menjana ekonomi setempat.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) membuat gesaan itu kerana peruntukan RM6,000 dianggap tidak mencukupi untuk KRT melaksanakan program kemasyarakatan.

“Walaupun RM10,000 itu bukan jumlah besar tetapi ia setidaknya memberi nilai tambah sebanyak RM4,000 kepada KRT untuk melaksanakan program.

“Saya cadangkan juga kementerian sediakan geran program yang dibuka untuk permohonan KRT bagi pembiayaan program yang membawa impak sosial dan memacu pembangunan masyarakat,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Richard Rapu (Betong-GPS) turut senada sambil mencadangkan geran KRT dinaikkan dua kali ganda kepada RM12,000 setahun.

“Hanya RM6,000 setahun geran tak cukup kalau dibahagi 12 bulan bermakna RM500 sebulan tak cukup untuk adakan program, jadi adakah kerajaan benar-benar mahu memperkukuh perpaduan atau sekadar cukup syarat tahunan jabatan, kalau kerajaan serius tambahlah geran KRT dua kali ganda baru kita boleh bercakap soal program bermakna dan berimpak,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) meminta Kementerian Perpaduan Negara menyatakan program disusun untuk membantu KRT yang tidak aktif, termasuk dalam menarik penglibatan golongan muda.

“Bagaimana kementerian akan bantu mereka aktif semula, bagaimana juga cara untuk menarik golongan muda terlibat bersama KRT,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.