Jenazah anak, ibu mentua penyerang JDT Syafiq selamat dikebumikan

Jenazah anak, ibu mentua penyerang JDT Syafiq selamat dikebumikan

Kedua-dua jenazah kemudiannya disembahyangkan ahli keluarga dan penduduk kampung di rumah Allahyarhamah Zainab Wahab.

Jenazah Muhammad Aisy Saqeef Muhammad Syafiq dan Zainab Wahab tiba di Kampung Padang Pusing, Kedah petang tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai. (Gambar Bernama)
PENDANG:
Suasana sayu menyelubungi pengebumian anak lelaki dan ibu mentua kepada pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad yang terlibat dalam kemalangan di Pulau Pinang awal pagi tadi.

Jenazah Muhammad Aisy Saqeef Muhammad Syafiq, 22 hari, dan Zainab Wahab, 46, yang bertolak dari Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 3.30 petang tiba di Kampung Padang Pusing, dekat sini pada 5.55 petang.

Kedua-dua jenazah kemudiannya disembahyangkan ahli keluarga dan penduduk kampung di rumah Allahyarhamah Zainab sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai dekat sini, untuk dikebumikan.

Syafiq yang juga penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) kelihatan sugul di tanah perkuburan sebelum ditenangkan ahli keluarga lain dan kedua-dua jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang kira-kira 8.30 malam tadi.

Dalam kemalangan tragis di KM163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap pada 5.36 pagi tadi, bayi lelaki Syafiq dan ibu mentua serta pembantu rumahnya dari Indonesia, Titik Sukamti, 30-an, maut di tempat kejadian.

Muhammad Syafiq Ahmad sebak di sisi jenazah anaknya yang berusia 22 hari dan ibu mentuanya di Kampung Padang Pusing, dekat Pendang. (Gambar Bernama)

Sementara itu, Syafiq, 25, dan anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan, manakala isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, pula dilaporkan cedera parah namun stabil.

Sementara itu, Norain Shahadan, 50, bapa mentua Syafiq berkata, arwah isterinya menghubunginya dua hari lalu dan memintanya mengemaskan rumah kerana ingin membawa cucu baru mereka pulang ke kampung.

“Saya menerima berita itu daripada besan, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubungi saya sekitar 6 pagi tadi. Saya seperti tidak percaya apabila dimaklumkan isteri dan cucu sulung lelaki maut dalam kemalangan, tetapi saya reda dengan ketentuan Allah.

“Saya hanya sempat berbual sekejap saja dengan isteri dan ketika itu dia maklumkan hendak pulang ke rumah apabila boleh merentas negeri, selepas berada di rumah anak dan menantu di Johor sejak Deepavali lalu.”

Upacara pengebumian itu turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Mohd Hayati Othman, beberapa pemain Kedah dan rombongan dari Johor, termasuk pemain JDT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.