
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 5.30 petang membabitkan sebuah kereta, van dan kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Kancil dipandu mangsa berusia 51 tahun bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan
dari Simpang Renggam ke Kampung Bukit Kenangan.
“Sebaik tiba di lokasi, kereta itu berhenti untuk masuk ke simpang kanan tetapi sebuah van dipandu lelaki tempatan dari arah sama hilang kawalan dan melanggarnya.
“Ia menyebabkan kereta terbabit masuk ke laluan bertentangan dan dilanggar Toyota Hilux yang gagal mengelak,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.
Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa dan anak lelaki berusia 15 tahun parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.
Katanya, seorang lagi anak lelakinya berusia sembilan tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki kiri.
“Pemandu van cedera dan pemandu kenderaan pacuan empat roda itu turut cedera. Semua mangsa dikejarkan ke Hosptial Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dengan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-365682 (tablet DCC) bagi membantu siasatan,” katanya.