Ugutan peluru hidup disyaki berkait operasi di 2 pelabuhan, kata KP Kastam

Ugutan peluru hidup disyaki berkait operasi di 2 pelabuhan, kata KP Kastam

Susulan itu, polis Sarawak menahan 3 lelaki bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap seorang pegawai kanan kastam yang menerima 2 butir peluru hidup beserta nota di rumahnya Jumaat lalu.

Anggota polis mengawal rumah seorang pegawai kanan kastam Sarawak yang menerima 2 butir peluru hidup dan nota ugutan pada 27 Nov lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ugutan bunuh ke atas seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Sarawak Khamis lalu dipercayai berpunca daripada tindakan pegawai itu mengetuai operasi di Pelabuhan Rajang dan Pelabuhan Bintulu sebelum ini.

Ketua Pengarah Kastam, Abdul Latif Abdul Kadir berkata, operasi di 2 pelabuhan itu antara 21 Okt dan 13 Nov lalu membawa kepada rampasan barang seludup kira-kira RM2.64 juta membabitkan cukai dan duti yang dianggarkan berjumlah RM655,301.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan amanah menjaga keselamatan dan hasil negara melalui penguatkuasaan ketat dan tidak berkompromi dengan ancaman mana-mana anasir ingin mengganggu gugat kedaulatan serta keselamatan negara.

“Jabatan Kastam turut memandang serius sebarang bentuk ugutan atau ancaman ke atas pegawainya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Latif seterusnya merakamkan penghargaan kepada polis yang menahan 3 individu disyaki terlibat menghantar nota ugutan itu bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, polis Sarawak mengumumkan penahanan 3 lelaki bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap seorang pegawai kanan kastam yang menerima 2 butir peluru hidup beserta nota “got two bullets, one long one short, which one you want” di kediamannya di Jalan Matang, Kuching.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.