
Wang ini tidak lesap begitu sahaja; ia disedut secara sistematik daripada Perbendaharaan negara melalui pelbagai saluran ketirisan, merangkumi penipuan kastam dan pengelakan cukai korporat sehingga budaya rasuah yang berleluasa.
Walaupun Rancangan Malaysia Ke-13 yang baru dibentangkan menyasarkan pengukuhan fiskal melalui langkah bagi memastikan penggunaan dana awam yang cekap serta menutup ketirisan, ia tidak akan memberi impak bermakna melainkan usaha lebih giat dilakukan untuk menutup jurang besar dalam aliran hasil negara.
Ekonomi bayangan
Walaupun sukar mengukur skala sebenar masalah ketirisan hasil Malaysia, kajian terkini diterbitkan dalam Journal of Financial Crime menganggarkan saiz ekonomi bayangan negara mencecah hampir suku daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan nilai RM118 bilion.
Ketirisan hasil juga berlaku secara meluas akibat ketidakpatuhan terhadap undang-undang cukai.
Ahli ekonomi, Geoffrey Williams, menyifatkan hal ini sebahagiannya berpunca daripada kesukaran pentadbiran dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendaftar serta mengutip cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Orang mengelak cukai kerana ia mudah dilakukan, mereka sekadar isytihar pendapatan lebih rendah atau sembunyikan jualan dan keuntungan sebenar,” katanya memaklumkan kesukaran penguatkuasaan dan hukuman ringan semakin melemahkan insentif untuk mematuhi peraturan.
Kerugian akibat penipuan kastam dan eksais
Salah satu bentuk ketirisan paling ketara dan merugikan adalah penipuan kastam dan eksais yang mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun.
Antara 2018 dan 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menganggarkan rasuah merugikan negara sebanyak RM277 bilion – purata tahunan berjumlah RM46 bilion.
Bagi memberikan gambaran lebih jelas, Williams memberitahu FMT purata tahunan itu bersamaan keseluruhan bajet kesihatan awam negara.
“Ia juga boleh membayar pencen bulanan RM1,500 kepada tiga juta orang atau mengurangkan defisit (fiskal) kepada separuh,” katanya.
Kementerian Kewangan menganggarkan kerugian tahunan akibat penyeludupan barangan bercukai tinggi sahaja mencecah hingga RM5 bilion.
Rasuah dan kronisme
Skala masalah ini bertambah buruk dengan penglibatan langsung pihak tertentu. Op Sikaro SPRM membongkar satu sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan cerut yang menyebabkan kerugian cukai sebanyak RM250 juta, dengan bantuan ‘kerjasama pegawai penguat kuasa tertentu’.
Siasatan lain pula membawa kepada penahanan 34 pegawai kastam yang didakwa menerima rasuah RM4.7 juta, menyebabkan kerugian antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion hanya dalam tempoh dua tahun.
Lobi industri juga merumitkan usaha menutup kelompangan undang-undang. Kajian pasaran mengaitkan penentangan terhadap kenaikan cukai tembakau dengan lambakan rokok haram yang murah – mewujudkan naratif masalah rokok seludup berpunca daripada cukai, bukan kelemahan penguatkuasaan sekali gus melemahkan matlamat kesihatan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata rasuah dan kronisme di peringkat tinggi menyebabkan dana diperuntukkan untuk pembangunan ekonomi sebaliknya tersimpan dalam akaun bank luar pesisir.
“Wang itu tidak akan kembali beredar di Malaysia untuk menjana peluang ekonomi dan pertumbuhan. Sebaliknya, menjadi pendapatan bagi syarikat asing.”
Kesan tersembunyi ketirisan hasil
Selain angka yang mengejutkan, kesan jangka panjang paling merosakkan akibat ketirisan ini adalah hakisan terhadap asas institusi dan sosial negara.
Pushpan beritahu FMT, persepsi undang-undang dilaksanakan dengan tidak adil secara umumnya akan membawa kepada tahap pematuhan yang rendah.
“Rakyat mungkin beramai-ramai memilih tidak membayar cukai, mungkin kerana persepsi golongan kaya yang sepatutnya membayar cukai lebih banyak boleh terlepas, jadi kenapa orang lain perlu bayar?”
Selain itu, terdapat juga gangguan pasaran apabila perniagaan mengelak cukai tanpa dikenakan tindakan. Perniagaan ini mendapat kelebihan kompetitif yang tidak adil berbanding pesaing yang patuh undang-undang, merugikan perniagaan sah dan mewujudkan pasaran yang menganggap aktiviti haram sebagai laluan berdaya maju untuk mencapai kejayaan.
Langkah ke hadapan
Bagi menangani masalah ini, Malaysia memulakan beberapa langkah strategik. Cukai keuntungan modal baharu ke atas saham tidak tersenarai dan pelaksanaan berperingkat sistem e-invois di seluruh negara diperkenalkan untuk meningkatkan pematuhan.
Kerajaan juga memperkenalkan platform awam seperti sistem e-Pelarian Cukai yang membolehkan rakyat melaporkan pengelakan cukai secara tanpa nama.
Dari segi penguatkuasaan, kerajaan mengukuhkan kerjasama pelbagai agensi seperti dalam Op Sikaro yang melibatkan SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Jabatan Kastam.
Kerajaan turut memerangi penipuan eksais melalui penggunaan setem cukai yang dipertingkatkan. Setem ini digunakan pada produk seperti rokok dan arak, berfungsi sebagai mekanisme pematuhan cukai dan duti eksais yang boleh disahkan dengan menjejaki barangan tersebut dari pengeluaran sehingga penjualan.
Banyak barangan yang dirampas dalam serbuan kastam tidak mempunyai setem ini, sekali gus menandakan ia sebagai barangan haram.
Penyelesaian buatan Malaysia untuk masa depan dipimpin Malaysia
Penyelesaian kepada cabaran hasil negara tidak semestinya datang dari luar. Sebaliknya, ia terletak pada komitmen lebih tinggi terhadap kekuatan sedia ada kita.
Malaysia sudah ada kunci penyelesaian: agensi penguatkuasaan mantap seperti SPRM dan Jabatan Kastam, hala tuju dasar yang jelas termasuk sistem e-invois, serta keupayaan teknologi untuk melaksanakan penyelesaian canggih seperti setem cukai yang dipertingkatkan.
Kejayaan operasi seperti Op Sikaro terhadap pegawai korup dan pengesanan ketirisan berbilion ringgit menunjukkan ada kemahuan dan keupayaan untuk menguatkuasakan undang-undang. Cabaran sebenarnya adalah memperluas usaha ini, sambil memastikan akauntabiliti dan konsistensi dalam membanteras ekonomi bayangan.
Dengan memperkasa institusi, memupuk budaya integriti, dan memanfaatkan infrastruktur digital, Malaysia mempunyai segala yang diperlukan untuk merangka laluan menuju kemampanan fiskal.