
“Kami ingat ia tiada masalah. Tidak terbayang kepada kami ia akan menjadi begitu buruk,” katanya.
“Dua minggu menjadi 4 minggu, kemudian sebulan dan sekarang sudah hampir 8 bulan tanpa kerja.”
Selepas sebulan tanpa pendapatan dan peluang untuk kembali ke pentas semakin tipis, Ozie menjadikan kegemarannya memasak sebagai cara untuk meneruskan kehidupan.
“Saya memutuskan untuk berbuat sesuatu. Meskipun kerjaya muzik sebelum ini berjalan lancar, saya suka memasak untuk kawan-kawan dan membuat penghantaran kerana saya suka memasak dan orang lain menggemari makanan saya. Kini ia sudah menjadi pekerjaan saya,” katanya kepada FMT.
“Saya memasak makanan istimewa saya, iaitu laksa Penang, 2 atau 3 kali seminggu dan menghantarnya ke rumah pelanggan. Saya juga meminta rakan pemuzik yang juga hilang kerja membantu saya menghantarnya.”
Beliau juga mula menjual pakaian terpakai dengan membuat persembahan di Shoppee Live. Walaupun tidak dapat melihat penonton, mendapat peluang membuat persembahan kepada pelanggan membolehkannya melepas rindu untuk bermain muzik.
Ia merupakan tahun yang mencabar bagi pemuzik yang terus tertunggu-nunggu peluang dibenarkan membuat persembahan langsung, walaupun restoran dan kedai dibenarkan dibuka semula.
“Mudah untuk orang berkata, ‘Bekerjalah di pejabat. Pergi cari kerja’. Tapi bercakap memang mudah. Kami bermain muzik sepanjang hidup kami. Ia pekerjaan kami dan kami menyukainya,” kata Ozie.

Walaupun sebilangan pemuzik memilih untuk menjual peralatan mereka untuk menjana pendapatan, Ozie berkata, beliau memberitahu kumpulannya supaya bertahan kerana kami akan kembali apabila semua ini berakhir”.
Kumpulannya Take 5 sebelum ini menerima tempahan penuh sehingga 2021. Ozie tertanya-tanya jika jadual sebegitu mungkin datang sekali lagi kerana kebanyakan tempat hampir terkubur dan mereka yang mampu bertahan besar berkemungkinan akan mengurangkan kos dan memotong peruntukan untuk penghibur.
“Ia seperti kami memulakannya semula sekali lagi. Sewaktu bermula dahulu, kami tidak kisah sama ada mendapat duit atau tidak, kami hanya mahu menaiki pentas dan bermain muzik.
“Kami kini mempunyai pengalaman dan tempat persembahan biasa kami, tetapi tiba-tiba kami seolah-olah kembali ke tapak mula.
“Ia amat memenatkan dan juga menakutkan dan saya cuba mengelak daripada berfikir mengenainya.”
Beliau bimbang impian penyanyi dan pemuzik akan datang mungkin lenyap begitu sahaja sebelum ia sempat berkembang.
“Jika keadaan tidak berubah segera, muzik akan lenyap.”