
Dalam keputusan bertulis bulan lalu, tribunal itu turut memerintahkan MACP menyusun semula pembayaran royalti kepada rakan penulis lagu Abdulkarim.
Abdulkarim membawa kes ini ke tribunal — yang ditubuhkan di bawah Akta Hakcipta 1987 — berhubung pertikaian royalti bagi lagu ‘Casablanca’, yang dicipta bersama komposer Daqmie dan Wan Salleh.
Lagu itu yang diterbitkan tiga tahun lalu itu dinyanyikan artis tempatan Naufal Azrin dan Nuha Bahrin sehiggga menjadi tular di TikTok.
“Sekiranya pemohon (Abdulkarim) mendapati sebarang pembayaran yang dibuat oleh responden (MACP) tidak tepat, pemohon berhak meminta audit terhadap akaun responden, berdasarkan tawaran yang dibuat responden ketika perbicaraan,” kata tribunal tiga ahli itu.
Tribunal dipengerusikan Rohazar Wati Zuallcobley turut mengarahkan MACP menyediakan laporan royalti terperinci meliputi persembahan, penstriman digital dan persembahan langsung bagi memastikan ketelusan.
“Kami maklum responden kini mengagihkan royalti mengikut kitaran tetap, namun kami menekankan kepentingan pemberitahuan awal dan penjelasan jelas bagi mengurus jangkaan ahli dengan lebih berkesan,” menurut keputusan setebal 15 muka surat itu.
Turut serta dalam panel ialah Nazura Abdul Manap dan Wong Jin Nee.
Dalam tuntutannya, Abdulkarim mendakwa MACP gagal memastikan ketelusan dalam pengurusan dan pentadbiran haknya terhadap karya tersebut.
Beliau berkata maklumat penting untuk mengesahkan ketepatan serta kelengkapan laporan royalti tidak diberikan kepadanya.
“Hak pentadbiran saya tidak dijalankan dengan segera, khususnya berkaitan kelewatan membuat pelarasan untuk mencerminkan bahagian sebenar saya dalam karya kreatif,” katanya.
Abdulkarim juga mempersoalkan ketepatan laporan MACP dan mendakwa badan itu tidak berusaha secukupnya untuk menegakkan hak yang diberikan kepadanya.
Sebagai maklum balas, MACP menegaskan telah melaksanakan tanggungjawab secara telus dan adil mengikut dasar agihan.
Ia menjelaskan bayaran royalti untuk karya digital dibuat lima kali setahun, manakala untuk karya umum pula dua kali setahun.
MACP turut menyatakan Abdulkarim telah menerima RM3,555 dalam royalti digital dan RM2,262.78 dalam royalti persembahan.