
Beliau berkata, Putrajaya amat memahami hasrat majoriti rakyat.
Katanya, pada 29 April 2019, Kementerian Luar mengemukakan surat penarikan Malaysia daripada Statut Rom kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, PBB pada 15 Mei tahun lalu mengesahkan penarikan Malaysia daripada Statut Rom yang berkuatkuasa 29 April 2019.
“Sehubungan dengan itu, Malaysia telah dikeluarkan secara rasmi daripada senarai negara berpihak kepada Statut Rom,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Maria Chin (PH-Petaling Jaya) mengenai kedudukan kerajaan berhubung Statut Rom dan kebarangkalian ia bersetuju menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa dalam masa terdekat.
Statut Rom ialah triti atau perjanjian antarabangsa yang menjadi asas kepada penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 1 Julai 2002 bertujuan menghapuskan kekebalan pelaku jenayah paling serius yang dianggap ancaman kepada masyarakat antarabangsa.
Empat jenis jenayah antarabangsa di bawah bidang kuasa Statut Rom ialah genosid (penghapusan bangsa/kaum), jenayah terhadap manusia, jenayah perang dan jenayah agresi (perbuatan menyerang atau menceroboh hak individu atau hak wilayah sesuatu bangsa atau negara).
Kerajaan PH menandatangani Statut Rom pada 4 Mac 2019, tetapi Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad pada 5 April 2019 mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan cubaan pihak tertentu mengheret institusi diraja menentang kerajaan.
Pengkritik perjanjian itu berkata, menandatanganinya melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan memberi kesan pada raja-raja Melayu, hak Melayu dan kesucian Islam.