
Hakim Adlin Abdul Majid memutuskan Sunrise-Mark Sdn Bhd boleh meneruskan pendaftaran kerana logo WEE POWER milik syarikat minuman tempatan itu tidak sama sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dengan tanda dagangan terkenal pengeluar kereta sport mewah berkenaan.
Ferrari memfailkan saman pemula terhadap Sunrise-Mark untuk mengetepikan keputusan pendaftar cap dagangan yang menolak bantahan mereka dan membenarkan permohonan cap dagangan syarikat itu tahun lalu.
Ferrari berhujah cap dagangan dua kuda berdiri sambil berdepan satu sama lain dengan huruf W tebal di antaranya dan perkataan WEE POWER di bawahnya, melanggar hak eksklusif mereka ke atas logo kuda tunggal digunakan pada kereta, barangan dan penjenamaan globalnya.
Ferrari juga cuba memperkecilkan perkataan WEE POWER dengan berhujah istilah POWER sudah disisihkan dalam pendaftaran cap dagangan dan perkataan WEE terlalu umum untuk dianggap unik.
Tetapi, mahkamah dalam keputusannya bertarikh 30 Mei lalu tidak bersetuju dengan hujahan plaintif atas alasan satu-satunya persamaan antara dua tanda itu ialah kuda.
“Tanda plaintif ialah tanda peranti dengan seekor kuda berdiri, manakala tanda defendan (Sunrise-Mark) mengandungi dua kuda berdiri yang saling berhadapan.
“Tanda defendan tidak hanya tertumpu pada kuda berdiri kerana ia mengandungi huruf besar W di antara kepala kedua-dua kuda dan perkataan WEE POWER di bawah kuda-kuda itu.
“Saya menerima penjelasan defendan, perkataan WEE berasal daripada nama pengasas defendan, Wee Juan Chien, dan tidak merujuk kepada takrifan biasa perkataan wee dalam bahasa Inggeris,” katanya menurut Harian Metro.
Adlin berkata, defendan tidak mungkin berniat menjenamakan minuman tenaganya dengan perkataan bermaksud “kuasa sangat kecil” atau “kuasa sangat awal” serta tiada kemungkinan munasabah pembeli minuman tenaga itu akan terkeliru dengan kenderaan mewah Ferrari.
“Plaintif dan defendan terbabit dalam industri berbeza, dengan plaintif dalam industri automotif mewah, manakala defendan berurus niaga dalam barangan boleh guna. Kedua-dua jenis produk tidak bersaing satu sama lain dan pelanggan plaintif serta defendan tidak mungkin bertindih.”
Hakim turut memerintahkan Ferrari membayar kos mahkamah.
Peguam PC Kok dan Ng Pau Chze mewakili Ferrari, manakala YY Ho serta Amirah Najihah Ameruddin mewakili Sunrise-Mark.