Asean digesa tolak pilihan raya Myanmar

Asean digesa tolak pilihan raya Myanmar

Bekas menteri luar Saifuddin Abdullah dan tiga bekas pakar PBB mengenai Myanmar berkata rancangan rejim tentera mengadakan pilihan raya pada 28 Dis tidak memenuhi kriteria asas legitimasi.

Ketua Junta Min Aung Hlaing menggembar-gemburkan pilihan raya pada 28 Dis ini sebagai cara untuk menamatkan perang saudara yang tercetus sejak tentera menggulingkan kerajaan pemimpin demokratik Aung San Suu Kyi pada 2021. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Asean digesa menolak pilihan raya dirancang Myanmar dan merombak strateginya terhadap negara itu selepas junta tentera meningkatkan keganasan ke atas orang awam menjelang pilihan raya dijadualkan berlangsung Disember ini.

Bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah dan tiga bekas pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Myanmar – semuanya ahli pengasas Majlis Penasihat Khas untuk Myanmar – berkata Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan ini “peluang terakhir blok itu untuk bertindak” dan “menolak tanpa berbelah bahagi pilihan raya palsu junta”.

Mereka berkata, rancangan rejim tentera mengadakan pilihan raya pada 28 Dis ini tidak memenuhi syarat asas untuk legitimasi yang digariskan Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, yang baru-baru ini menyatakan pilihan raya mesti bebas, adil, telus serta boleh dipercayai.

“Kegagalan menolak pilihan raya itu akan dianggap pengkhianatan terhadap rakyat Myanmar dan ganjaran berbahaya kepada autoritarianisme ganas,” menurut kenyataan bersama yang turut ditandatangani Marzuki Darusman, Yanghee Lee dan Chris Sidoti.

Mereka turut mengutuk “kempen propaganda” junta yang secara palsu mendakwa Mohamad bersetuju menghantar pemerhati pilihan raya Malaysia dan menuduh Asean selama empat tahun gagal melaksanakan konsensus lima perkara ke atas Myanmar – pelan keamanan lima perkara yang dipersetujui jeneral tertinggi itu.

Menurutnya, tiada tindakan diambil Asean menyebabkan penyebaran pembunuhan besar-besaran, jenayah rentas negara dan impuniti, selain memberi amaran “junta yang berani kini meningkatkan pembunuhan orang awam, termasuk kanak-kanak”.

Serangan baru-baru ini, termasuk pengeboman di wilayah Sagaing pada 6 Okt lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 26 orang dan mencederakan 40 lagi ketika perayaan Buddha, serta serangan udara di sebuah sekolah negeri Rakhine yang dilaporkan membunuh 22 pelajar bulan lalu.

Jumaat lalu, Global New Light of Myanmar yang dikendalikan kerajaan berkata, Mohamad “berikrar akan menghantar pasukan pemerhati pilihan raya ke Myanmar” selepas pertemuan di Naypyidaw dengan pemimpin junta, Min Aung Hlaing.

Mohamad kemudian menjelaskan, Asean akan membincangkan permintaan pemerhati oleh Myanmar dalam mesyuarat menteri luar Asean, walaupun beliau tidak menjangkakan blok serantau itu akan bersetuju.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 yang menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi dan mencetuskan pemberontakan bersenjata yang menyebabkan sebahagian besar negara itu terlepas daripada kawalan junta.

Walaupun Myanmar ialah anggota Asean, blok itu menghalang pemimpin tenteranya menghadiri mesyuarat sejak 2022 atas alasan kegagalan mereka menerima pelan keamanan lima perkara.

Saifuddin dan tiga bekas pakar PBB menggesa Asean menggunakan strategi baharu terhadap Myanmar dengan menolak pilihan raya dan memperluaskan sekatan bagi mengecualikan semua wakil junta menghadiri mesyuarat Asean.

Mereka turut menyeru Asean meneruskan pelan demokrasi membabitkan pihak berkepentingan – termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional, kumpulan penentangan etnik serta masyarakat sivil – sambil mendesak gencatan senjata di seluruh negara dan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.