Mahkamah Persekutuan tolak rayuan habeas corpus CEO GISBH, isteri

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan habeas corpus CEO GISBH, isteri

Panel tiga hakim membuat keputusan sebulat suara itu selepas mendapati permohonan Nasiruddin Mohd Ali dan Azura Md Yusof tiada merit.

Nasiruddin Mohd Ali
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu bermakna Nasiruddin Mohd Ali kekal ditahan di Penjara Sungai Buloh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak rayuan habeas corpus difailkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan isteri bagi mencabar penahanan salah mereka bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara itu selepas mendapati permohonan Nasiruddin Mohd Ali dan Azura Md Yusof tiada merit.

“Tiada merit dalam rayuan ini. Rayuan ditolak, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Vazeer Alam Mydin Meera menurut Harian Metro.

Ini bermakna Nasiruddin akan terus ditahan di Penjara Sungai Buloh, manakala Azura pula memperoleh ikat jamin Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.

Pasangan itu memfailkan permohonan penahanan salah dengan menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara, pendakwa raya, pengarah penjara Selangor dan Kuala Lumpur serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada 14 Jan lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menolak permohonan habeas corpus difailkan suami isteri itu.

Hakim Abu Bakar Katar dilaporkan berkata, pemohon tidak berada dalam tahanan Sosma semasa notis usul permohonan habeas corpus itu difailkan pada 24 Okt 2024, sebaliknya dalam waran menahan sah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang.

Sebelum ini, lapan wanita, termasuk Azura yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, sementara Nasiruddin bersama 12 lagi pemohon dalam pertuduhan sama tidak dibenarkan diikat jamin.

Oktober tahun lalu, Nasiruddin dan Azura serta 19 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, tetapi tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kerana kes itu bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan GISBH di sebuah tempat di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.