
Ketua PKR Gua Musang, Asharun Uji, berkata ada ‘mendengar’ perkara itu berlaku, namun belum ada maklumat rasmi dan bukti sahih dikemukakan.
“Saya hanya dengar-dengar sahaja perkara itu, tetapi sejauh mana kesahihan kita serah kepada pucuk pimpinan selesaikan dan siasat.
“Tidak perlu sampai nak melobi sebab kuasa melantik menteri adalah kuasa prerogatif perdana menteri yang juga presiden PKR,” katanya kepada FMT sambil menyeru budaya itu ditolak semua ketua cabang.
Semalam, Malaysiakini melaporkan dakwaan bekas timbalan komunikasi PKR Sabah, Fekirie Gobet, bahawa seorang pemimpin PKR sedang giat menghubungi ketua cabang, termasuk mengumpul tandatangan bagi meraih sokongan melobi jawatan menteri.
Untuk rekod, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad mengemukakan surat peletakan jawatan pada 28 Mei, susulan tindakan sama oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selepas tewas dalam pemilihan parti.
Dalam pada itu, Ketua Cabang Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri, menyifatkan jika wujud gerakan melobi ia perkara memalukan parti, dan sepatutnya diserahkan kepada perdana menteri untuk diselesaikan secara harmoni.
Ketua Cabang PKR Tapah Azam Afandi, berkata pengumpulan tandatangan atau tekanan dalaman bukan budaya PKR.
“PKR adalah parti yang dibina atas asas perjuangan reformasi, menolak budaya politik elitis dan naungan. Kalau pun ia berlaku, saya percaya ia hanya membabitkan segelintir individu,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan semua ketua cabang Perak juga akan menolak gerakan itu.
Sementara itu, Ketua Cabang Wangsa Maju, Lai Chen Heng, memberi jaminan tidak akan melayan sebarang gerakan lobi jawatan.