Peruntukan kepada Jasa hampir menyamai dana untuk 4 tahun, kata Kit Siang

Peruntukan kepada Jasa hampir menyamai dana untuk 4 tahun, kata Kit Siang

Jasa dibubarkan pada Mei 2018 selepas PH melancarkan kempen berjimat berikutan kemenangannya dalam pilihan raya umum ke-14.

Lim Kit Siang menyelar Saifuddin Abdullah kerana mendakwa beliau tidak tahu kenapa Jasa dihidupkan semula, sekali gus bertanya siapakah yang akan bertanggungjawab ke atas agensi itu.
PETALING JAYA:
Veteran DAP Lim Kit Siang berkata, peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) hampir menyamai dana yang diberikan kepada jabatan itu dalam 4 belanjawan sebelum ini.

Beliau berkata, sewaktu Jasa berada di bawah seliaan pemimpin Umno Puad Zarkashi sebagai ketua pengarah jabatan itu dari 2015 hingga 2018, ia menerima dana berjumlah RM97.4 juta dalam belanjawan tahunan kerajaan.

Lim memetik kenyataan bekas pegawai tugas-tugas khas bekas menteri komunikasi dan multimedia Gobind Singh Deo yang berkata bahawa salah satu agensinya, iaitu Jabatan Penerangan, mempunyai staf, kepakaran, peralatan dan jangkauan yang mencukupi untuk menyampaikan maklumat tentang pencapaian dan dasar kerajaan ke peringkat akar-umbi.

“Bolehkah Menteri Kewangan Tengku Zafrul dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menjelaskan mengapa Jasa perlu dihidupkan semula.

“Saifuddin tidak menolak laporan 5 hari lalu bahawa beliau tidak tahu Jasa dihidupkan semula dengan peruntukan besar sebanyak RM85.5 juta.

“Sekiranya Saifuddin bukanlah orang yang akan bertanggungjawab dan mengendalikan Jasa, siapakah yang akan memegang Jasa ini?,” tanya Lim dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pemulihan semula Jasa merupakan penyalahgunaan peruntukan kerajaan sedangkan wang itu boleh digunakan untuk menyokong petugas barisan hadapan dan langkah lain dalam memerangi wabak Covid-19.

Menurut laman rasmi Kementerian Kewangan, fungsi Jasa adalah untuk membangunkan komuniti sehingga ke peringkat akar umbi melalui komunikasi berkesan antara kerajaan dan rakyat.

Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta dibuat di bawah dana komunikasi strategi dan peruntukan ke-2 berjumlah RM81.5 juta diberikan di bawah belanjawan tahunan.

Beberapa orang pemimpin Umno menggesa Putrajaya supaya menjustifikasikan peruntukan RM85.5 juta kepada Jasa itu dengan berkata, mereka tidak akan bersetuju jika unit itu digunakan hanya untuk tujuan propaganda.

Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata, ia boleh dijustifikasikan sekiranya jabatan itu memainkan peranan efektif sebagai unit komunikasi di kawasan luar bandar, tetapi menegaskan peruntukan melebihi RM80 juta itu terlalu besar.

Jasa dibubarkan pada Mei 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) melancarkan kempen berjimat berikutan kemenangannya dalam pilihan raya umum sebelum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.