Krisis Bersatu: Saifuddin gesa Muhyiddin dipanggil hadap Lembaga Disiplin

Krisis Bersatu: Saifuddin gesa Muhyiddin dipanggil hadap Lembaga Disiplin

Ahli MPT Bersatu tuntut presiden parti jelaskan sendiri tuduhan dianggap kesalahan disiplin.

saifuddin abdullah
Ahli MPT Bersatu Saifuddin Abdullah berkata, beliau sedia hadir semula sesi LD jika ketiga-tiga tuntutannya dipenuhi, termasuk kehadiran Muhyiddin Yassin beri penjelasan rasmi.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Saifuddin Abdullah menggesa agar Presiden Muhyiddin Yassin dipanggil memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin (LD) berhubung tuduhan yang dihadapinya.

Saifuddin berkata, tuduhan terhadapnya berkait dengan dakwaan beliau mencadangkan Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai presiden Bersatu, justeru hanya Muhyiddin yang boleh menjelaskan perkara itu kepada LD.

“Beberapa persoalan hanya boleh dijawab oleh Muhyiddin, bukan oleh pengadu, penyiasat, saya atau LD sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Maka adalah wajar dan perlu untuk beliau dipanggil bagi memberikan penjelasan sebelum sebarang keputusan dibuat.”

Beliau menegaskan, LD hanya boleh membuat keputusan terhadap kesnya selepas meneliti keterangan daripada Muhyiddin, kerana isu yang dibangkitkan mempunyai kaitan langsung dengan kepimpinan tertinggi parti.

Saifuddin berkata, jika jawapan presiden menunjukkan bahawa cadangannya tidak menjejaskan parti atau menyerang kepimpinan, maka tindakan mencadangkan peletakan jawatan itu tidak wajar dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

Beliau hadir ke Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya jam 2 petang tadi bagi menghadiri sesi perjumpaan bersama anggota LD, selepas Majlis Pimpinan Tertinggi parti pada 4 Nov lalu memutuskan untuk mengadakan perdamaian dalam kalangan ahlinya.

Dalam sesi itu, Saifuddin mengemukakan tiga tuntutan kepada LD termasuk dua ahli lembaga, iaitu Pengerusi Mohammed Radzi Manan dan ahli Sasha Lyna Abdul Latif, mengundurkan diri kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan.

Katanya, hubungan kekeluargaan antara Mohammed Radzi dengan Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu dan Naib Ketua Srikandi Nolee Ashilin Radzi, menimbulkan risiko terhadap kebebasan serta ketelusan proses siasatan dan keputusan LD.

Selain itu, beliau turut meminta nama penyiasat dan pihak pendakwa terhadap kesnya dijelaskan, bagi memastikan tiga peranan iaitu penyiasat, pendakwa dan penentu keputusan tidak dilaksanakan oleh individu atau kumpulan sama.

Saifuddin berkata, beliau bersedia menghadiri semula sesi LD sekiranya ketiga-tiga tuntutannya dipenuhi, termasuk kehadiran Muhyiddin bagi memberikan penjelasan rasmi.

“Saya akan beri kerjasama penuh kepada LD jika proses ini dijalankan secara adil dan telus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.