
Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata walaupun Malaysia sentiasa terbuka terhadap perjanjian perdagangan bebas (FTA), namun apa lebih utama sekarang adalah menumpukan aspek “perjanjian perdagangan yang bebas serta adil.”
“Sekiranya ada cadangan untuk menghidupkan atau menyemak semula TPPA, semua perkara ini mesti diambil kira oleh pihak-pihak yang mahu memeterai perjanjian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama berhubung penganjuran Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) oleh Malaysia selaku tuan rumah, pada 20 November ini.
Azmin menyentuh perkara itu ketika ditanya mengenai langkah Malaysia selepas ini sekiranya Amerika Syarikat (AS) berhasrat untuk kembali kepada TPPA berikutan kemenangan Joe Biden menewaskan Donald Trump dalam pemilihan presiden negara itu, baru-baru ini.
Trump sebelum ini enggan mengesahkan TPPA dan seterusnya mengumumkan penarikan diri AS sejurus menduduki kerusi Presiden itu pada Januari 2017.
Sebelum itu, AS di bawah pentadbiran bekas presiden Barack Obama serta Biden selaku naib presiden, menyertai Malaysia dan 10 negara lain dalam mencapai persetujuan membabitkan perjanjian itu.
Menjelaskan selanjutnya, Azmin berkata isu itu sememangnya hangat dibahaskan pada satu ketika dulu kerana ada beberapa perkara dalam perjanjian tersebut yang dirasakan tidak menjamin dan memberi perlindungan kepada industri tempatan.
“Hari ini, sebagai sebuah kerajaan, sudah tentulah kita mahukan pasaran yang lebih besar, tetapi kita juga mahu melindungi industri-industri tempatan kita daripada dibuli oleh kuasa-kuasa besar,” katanya.
Menurutnya, ini penting kerana Malaysia juga berperanan menyumbang kepada pasaran global.
Oleh itu, sebarang perjanjian perdagangan yang mahu ditandatangani perlulah turut merujuk tahap pembangunan sesebuah negara, kata beliau.
Setakat ini, Malaysia mempunyai sebanyak 13 FTA.
Negara-negara TPPA seperti Australia, AS, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru, Chile, Brunei, Singapura, Jepun, Vietnam dan Malaysia juga menyumbang hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar dunia serta 1/3 daripada perdagangan global.
Susulan penarikan diri AS, kalangan menteri-menteri daripada 11 negara tersebut telah mengadakan mesyuarat pada 21 Mei, 2017 di Hanoi, Vietnam serta menegaskan semula kepentingan TPPA dari segi ekonomi dan strategik.
Ini disusuli dengan beberapa siri mesyuarat membabitkan perunding negara-negara terbabit bagi mengenal pasti kaedah untuk melaksanakan perjanjian tersebut.
Pada 9-10 Nov, 2017 di Da Nang, Vietnam, para menteri berkenaan telah mencapai persetujuan membabitkan perkara penting, teks perjanjian serta langkah bagi melaksanakan TPPA yang kemudiannya dikenali sebagai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).