Malaysia punyai hak tamat perjanjian timbal balas, jelas AGC

Malaysia punyai hak tamat perjanjian timbal balas, jelas AGC

Penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan bawah Perkara 7.5 ART.

agc
Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan ART dengan AS melalui pemberitahuan bertulis, kata AGC.
KUALA LUMPUR:
Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).

Penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.

“Artikel 7.2 ART memperuntukkan bahawa perjanjian tersebut hanya akan berkuat kuasa 60 hari selepas kedua-dua pihak bertukar pemberitahuan bertulis yang mengesahkan bahawa tatacara perundangan domestik berkaitan telah selesai dilaksanakan.

“Pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah perjanjian ini oleh Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai,” menurut kenyataan.

ART juga memperuntukkan rundingan dengan suci hati antara Malaysia dan AS berhubung isu pelaksanaan sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak satu lagi.

“Bagaimanapun, berdasarkan Artikel 7.1, Malaysia dan AS sebagai negara anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak, kewajipan masing-masing serta perlindungan yang diperuntukkan di bawah perjanjian WTO bagi perdagangan antarabangsa,” menurut AGC.

Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25% kepada 19%, di bawah ‘Executive Order 14257’ yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.

Rundingan berkenaan diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia manakala AS diwakili Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat.

MITI turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan dalam rundingan itu dan keputusan dasar berhubung ART dibuat oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira aspek ekonomi, politik dan perundangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.