
Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata, bagi sekolah di negeri Kumpulan A, sesi persekolahan berakhir pada 17 Disember, manakala bagi Kumpulan B pada 18 Disember.
Katanya, sekolah di negeri Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) juga ditutup hingga akhir tahun.
“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara ‘home-based learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
“Sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.
Katanya, bagi sekolah dalam Kumpulan A membabitkan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor, sesi persekolahan tahun ini berakhir pada 17 Dis, manakala bagi negeri lain yang termasuk dalam Kumpulan B pada 18 Dis.
Radzi berkata, bagi murid yang yang tinggal di asrama, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.
“Bagaimanapun, murid boleh terus berada di asrama sementara menunggu untuk diambil oleh ibu bapa atau penjaga.
“Sepanjang tempoh tersebut, murid berada di bawah pengawasan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah,” katanya.
Selain itu katanya, ibu bapa yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri untuk mengambil anak-anak perlu memaklumkan kepada sekolah untuk memohon kebenaran polis.
Beliau juga berkata, bagi takwim persekolahan 2021 yang diumumkan sebelum ini, penggal persekolahan akan bermula pada 20 Jan depan hanya membenarkan murid sekolah rendah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada tarikh tersebut.
“Bagi sekolah menengah pula, murid Tingkatan 1, Tingkatan 4, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 serta semua murid Kolej Vokasional akan memulakan persekolahan secara bersemuka pada tarikh yang sama.
“Murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama, tetapi secara ‘home-based learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid.
“Mereka akan kembali ke sekolah untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada 8 Mac 2021,” katanya.
Radzi juga berkata, pelajar program matrikulasi KPM dan pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya dan melakukan ulang kaji kendiri sehingga 31 Dis 2020.
“Pelajar program matrikulasi KPM akan kembali semula ke kolej dan meneruskan program pada 4 Jan 2021.
“Ujian Malaysian University English Test (MUET) untuk pelajar matrikulasi yang dijadualkan pada 8 hingga 19 Dis 2020, ditangguhkan ke tahun 2021.’
“Bagi pelajar IPG, penyampaian pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran bagi semua program pengajian akan dilaksanakan seperti dalam kalendar akademik Program Pendidikan Guru Sesi 2020/2021 dan Sesi 2021/2022.
“Pelajar IPG akan kembali ke kampus dan meneruskan pengajian pada 17 Jan 2021,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di seluruh negara kecuali Kelantan, Pahang, Perlis dan Sarawak bagi mengekang penularan gelombang ketiga Covid-19 sehingga 6 Dis.