Murid Tahun 4 maut: AGC pulang kertas siasatan kepada polis

Murid Tahun 4 maut: AGC pulang kertas siasatan kepada polis

Ketua Polis Negeri Sembilan berkata, terdapat arahan terbaru yang perlu diambil tindakan.

Alzafny Ahmad
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini siasatan sebaik mendapat arahan AGC. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pejabat Peguam Negara (AGC) memulangkan kepada polis kertas siasatan kes murid Tahun Empat yang meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri di tandas sekolah pada 1 Okt.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata, terdapat arahan terbaru yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan dikembalikan semula kepada AGC.

“Memandangkan kertas siasatan masih dalam proses dilengkapkan sepenuhnya, dimohon mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Alzafny berkata, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini siasatan sebaik sahaja mendapat arahan daripada AGC.

Hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan meminta agar semua elemen berkaitan kejadian yang menimpa murid itu disiasat secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

KPM memaklumkan, pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap kenyataan oleh keluarga murid berhubung kejadian itu.

Dilaporkan sebelum ini, seorang budak lelaki berusia 10 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolahnya di Senawang sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher, dengan tiada sebarang kecederaan lain didapati pada tubuh mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.