
Kementerian Pendidikan berkata, calon berdaftar akan menduduki peperiksaan itu di 135 pusat di seluruh negara.
Katanya, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 852 petugas dilantik.
“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM 2025 merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod kertas dan nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi LP melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya dalam kenyataan.
KPM mengingatkan calon membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM.
“KPM cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan STAM Tahun 2025 berlangsung.
“KPM siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan,” katanya.
Menurutnya, calon dinasihatkan segera memaklumkan kepada sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) jika terlibat dan terkesan dengan bencana.
KPM komited melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan STAM 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.