
Usul memendekkan sidang Dewan Rakyat itu dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan, hari ini. Pemendekkan itu mendapat persetujuan semua ketua whip dalam pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Negara, Azhar Azizan Harun semalam.
Azhar turut menjelaskan beberapa kekeliruan dalam kalangan ahli Parlimen berhubung kenyataan kelmarin, mengatakan kakitangan Dewan Negara disahkan positif.
Katanya, kakitangan berkenaan bukanlah kakitangan Dewan Negara tetapi kakitangan seorang senator. Semalam, Senator Ras Adiba Radzi mengesahkan seorang pegawai khasnya disahkan positif dan sedang dirawat.
Katanya, pegawai itu tidak datang ke Parlimen setiap hari, “berkemungkinan untuk hadir ke sesi pembentangan Belanjawan 2021”.
Sementara itu, seorang polis bantuan yang dikatakan positif juga tidak bertugas di Parlimen.
Azhar juga berkata Parlimen akan melihat kepada mensanitasi pejabat wakil rakyat yang dikongsi pegawai senator itu.
Sementara itu, ketua pentadbir Parlimen mengesahkan 2 kes positif melibatkan seorang petugas media dan seorang pegawai kepada ahli Dewan Negara.
Dalam kenyataan, beliau berkata Kementerian Kesihatan mengambil tindakan lanjut ke atas kedua-dua kes tersebut sejurus selepas keputusan saringan diperolehi.
Kementerian juga melakukan saringan ke atas semua pegawai dan ahli Parlimen, termasuk polis bantuan yang bertugas di Parlimen, pada 28 dan 30 Okt.
“Parlimen membuat pelbagai usaha serta persediaan yang sewajanya untuk mengekang penularan wabak Covid-19 bagi memastikan kelancaran persidangan dan pembentangan Belanjawan yang akan dilaksanakan pada 6 November nanti,” katanya.