
Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga semalam menandakan penutup kepengerusian Malaysia yang sarat dengan isu strategik serantau.
Di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, sidang kemuncak ini bukan sahaja menilai semula arah tuju Asean dalam tempoh pascapandemik, tetapi turut menegaskan keperluan memperkukuh keselamatan serantau berdepan konflik global yang semakin kompleks.
Antara sidang menjadi tumpuan ialah 20th East Asia Summit (EAS) dan 13th Asean–United States (US) Summit.
Kedua-dua sidang itu memperlihatkan keberanian Malaysia mengemudi Asean dalam menangani isu sensitif seperti Gaza, Myanmar, Laut China Selatan dan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).
Gaza: Diplomasi kemanusiaan Malaysia di tengah ketegangan global
Dalam 20th East Asia Summit, Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara lantang mengangkat isu Gaza sebagai keutamaan moral dan kemanusiaan Asean. Beliau menegaskan Malaysia menyambut baik inisiatif global ke arah menghentikan kekejaman Israel, namun menekankan keperluan penyelesaian yang adil dan menyeluruh.
Ucap Anwar: “We welcome President Trump’s comprehensive plan to end the Gaza conflict as an important critical beginning to stop this madness, genocide and atrocities. But we have urged that this must be continued closely monitored so that there’s lasting peace, it’s inclusive, just and lasting political solution for Palestine.”
Kenyataan ini menggambarkan pendirian Malaysia yang tegas tetapi pragmatik, iaitu bersedia bekerjasama dalam usaha antarabangsa, namun tetap berpegang kepada prinsip keadilan dan kedaulatan rakyat Palestin.
Walaupun kehadiran Presiden Donald Trump menimbulkan pelbagai reaksi, Malaysia tetap konsisten mengingatkan penyelesaian mesti bersandarkan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat.
Krisis Myanmar: Ujian kepimpinan dan ketegasan Asean
Isu Myanmar kekal sebagai cabaran utama keselamatan Asean. Dalam sidang sama, Anwar menegaskan komitmen Malaysia terhadap ‘Five-Point Consensus’, sambil mendedahkan inisiatif diplomatik berterusan termasuk penglibatan langsung dengan pemimpin tentera Myanmar, Min Aung Hlaing.
Jelas beliau: “Asean is committed to give all the necessary humanitarian support on two conditions. Number one, immediate ceasefire, stop the bombings and secondly, that the humanitarian assistance…is given full access to all, irrespective of minorities or political persuasions.”
Malaysia turut memainkan peranan aktif dalam memfasilitasi dialog antara pelbagai kumpulan pembangkang Myanmar. Sebanyak 27 kumpulan etnik dan politik telah dijemput ke Kuala Lumpur bagi menjalin saluran komunikasi terbuka sekali gus memperlihatkan usaha Malaysia mengimbangi pendekatan diplomasi senyap dengan tekanan moral ke arah perdamaian.
Namun, seperti mana ditegaskan oleh Menteri Luar Mohamad Hasan, penyelesaian jangka panjang perlu berpaksikan kepercayaan: “When it comes to Myanmar, the road ahead must be guided by determination and active engagement…reconciliation will not happen overnight. It will be a long process, which must be led by the people of Myanmar, and supported by Asean.”
Pendekatan ini menegaskan keunikan kepimpinan Malaysia — tegas dalam prinsip, namun berhati-hati dalam pelaksanaan — yang terus memperkukuh kredibiliti Asean sebagai platform penyelesaian serantau yang konstruktif.
Laut China Selatan: Keseimbangan strategik di tengah persaingan kuasa besar
Dalam isu Laut China Selatan, Malaysia mengekalkan pendirian yang konsisten, iaitu memperjuangkan penyelesaian melalui Asean dan mengelak campur tangan luar.
Tegas Anwar: “We want it to be resolved within Asean and Asean with our partners in the region. Because the moment it is seen to be imposed and dictated by outside forces, things become more problematic and tense.”
Sebagai Penyelaras Negara Asean bagi China (Ogos 2024 – Julai 2027), Malaysia kini berada di barisan hadapan dalam memacu rundingan Code of Conduct (CoC) yang berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa, khususnya 1982 United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS).
Pendekatan ini mencerminkan keseimbangan strategik Malaysia, iaitu menegakkan kedaulatan serantau tanpa menjejaskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat.
DPRK: Keberanian Malaysia menyeru dialog
Isu pelancaran peluru berpandu oleh Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) turut disentuh dalam sidang ini. Anwar menegaskan bahawa Asean tidak boleh menolak dialog, walaupun dengan negara yang sering dilihat sebagai ‘pariah state’.
Beliau berkata: “We are concerned with the recent surge in ballistic missile launches. But Malaysia’s position is to continue with some form of engagement… we should not preclude engagement with DPRK.”
Pendekatan ini memperlihatkan prinsip diplomasi Malaysia yang konsisten dalam menolak konfrontasi dan mengutamakan dialog sebagai asas keamanan serantau.
Asean–US Summit: Menyatukan komitmen keselamatan dan kesejahteraan
Dalam pada itu, sidang 13th Asean–US Summit pula memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek keselamatan, ekonomi, dan pembangunan mampan. Melalui ASEAN–US Leaders’ Joint Vision Statement to Promote Stronger, Safer, and More Prosperous Asean and America, kedua-dua pihak menegaskan komitmen terhadap prinsip freedom of navigation, respect for sovereignty dan peaceful resolution of disputes.
Pernyataan bersama ini turut menekankan aspek keselamatan siber, kecekapan tenaga, dan pembangunan ekonomi digital melalui Asean Digital Economy Framework Agreement (Defa) sebagai suatu langkah yang membuka ruang baharu bagi integrasi serantau di era digital.
Malaysia sebagai nadi diplomasi aman dan tegas
Ringkasnya, Sidang Kemuncak Asean ke-47 adalah bukti keupayaan Kuala Lumpur memimpin dengan prinsip dan keberanian moral. Dalam isu Gaza, Anwar kekal lantang menentang kezaliman meskipun berdepan pemimpin kuasa besar seperti Trump. Dalam isu Myanmar, beliau dan pasukan diplomatik Malaysia menonjolkan kepimpinan yang empatik dan inklusif. Dalam Laut China Selatan dan DPRK pula, beliau menegaskan pentingnya dialog, undang-undang antarabangsa dan perpaduan Asean.
Kepimpinan Malaysia di pentas Asean 2025 menegaskan satu mesej jelas kepada dunia, iaitu keamanan sejati hanya dapat dicapai apabila prinsip, keadilan dan kemanusiaan dijadikan landasan utama. Seperti ditegaskan oleh Anwar: “We’ll continue to advocate for dialogue over coercion, balance over binaries, cooperation over confrontation.”
Penulis ialah pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.