Timor-Leste kini anggota ke-11 Asean

Timor-Leste kini anggota ke-11 Asean

Negara termuda di rantau ini secara rasmi diterima masuk ke blok itu selepas pemimpinnya menandatangani deklarasi kemasukan pada Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Asean Kao Kim Hourn menyerahkan deklarasi kemasukan Timor-Leste ke blok itu kepada Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao. Di sebelah kiri ialah Presiden Timor-Leste Jose Manuel Ramos-Horta.
KUALA LUMPUR:
Timor-Leste secara rasmi menyertai Asean hari ini sekali gus menjadikannya anggota ke-11 blok Asia Tenggara selepas menandatangani deklarasi kemasukan pada Sidang Kemuncak Asean ke-47, di sini.

Pemimpin semua 10 negara anggota semasa menandatangani deklarasi bersejarah itu, dengan Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, menjadi penandatangan terakhir.

Selepas majlis itu, bendera Timor-Leste dikibarkan di pentas bersama negara anggota lain, menandakan penyertaan rasminya ke dalam blok berkenaan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam ucapan sebagai pengerusi Asean ketika perasmian sidang kemuncak berkata, kemasukan Timor-Leste melengkapkan keluarga Asean, ‘mengukuhkan lagi masa hadapan bersama dan hubungan kekeluargaan serantau’.

Gusmao, dalam ucapan pertamanya selepas dokumen ditandatangani itu diserahkan berkata, ia bukan sahaja menandakan pencapaian impian lama, tetapi ‘pengiktirafan bermakna terhadap perjalanan kami yang disulami ketabahan, keazaman dan harapan’.

Penyertaan itu adalah kemuncak kepada lebih sedekad usaha Timor-Leste untuk menyertai kumpulan serantau tersebut. Negara muda itu mula memohon keanggotaan Asean pada 2011 dan diberi status pemerhati pada 2022.

Sejak itu, Timor-Leste mengambil bahagian dalam mesyuarat utama Asean sambil berusaha menyelaraskan kerangka nasionalnya dengan tiga tonggak blok tersebut – politik, ekonomi dan sosiobudaya.

Felo Kanan ISEAS–Yusof Ishak Institute, Singapura, Joanne Lin, berkata kemasukan penuh Timor-Leste ‘lebih daripada sekadar simbolik’ dan melengkapkan peta Asia Tenggara selepas 14 tahun.

“Keanggotaan ini adalah pengiktirafan kukuh komitmen Asean terhadap keterangkuman, yang juga menjadi tema kepengerusian Malaysia, serta identiti serantau tahun ini,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kehadiran ahli baharu itu akan mengubah dinamik dalaman dan luaran Asean, menambah satu lagi suara dalam sistem berasaskan konsensusnya sambil membawa perspektif tersendiri daripada pengalaman negara itu dalam pemulihan pascakonflik dan peralihan demokrasi.

Bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura, Ilango Karuppannan, pula berkata Asean kini perlu memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan atau berisiko memperdalam perpecahan sedia ada.

“Jika kita tidak melakukan apa-apa, Asean boleh berpecah kepada tiga lapisan (dari segi kemakmuran), dengan Timor-Leste ketinggalan lebih jauh berbanding negara lain.

“Kita tidak mahu perpecahan seperti ini akhirnya menjadi masalah yang akan memecahbelahkan Asean,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.