Sidang Kemuncak Asean perkukuh ekonomi, diplomasi dan keselamatan negara

Sidang Kemuncak Asean perkukuh ekonomi, diplomasi dan keselamatan negara

Sidang Kemuncak Asean ke-47 perkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara pemangkin kestabilan, kemakmuran dan perpaduan.

Sidang Kemuncak Asean ke-47 yang baru berakhir di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) meninggalkan kesan mendalam kepada Malaysia dari segi ekonomi, diplomasi dan keselamatan.

Bawah kepengerusian Malaysia, sidang kali ini bukan sahaja mempamerkan keupayaan negara memimpin blok serantau terbesar di Asia, malah mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pemangkin kestabilan dan kemajuan rantau Asia Tenggara.

Pengukuhan asas ekonomi Malaysia melalui integrasi serantau

Salah satu impak paling ketara Sidang Kemuncak Asean ke-47 terhadap Malaysia ialah pengukuhan asas ekonomi negara. Seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia kini berdagang dan melabur lebih banyak sesama negara anggota, sejajar dengan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Asean Trade in Goods Agreement – Atiga).

Naik taraf perjanjian ini membuka ruang kepada perdagangan yang lebih bebas dan efisien, mengurangkan kos transaksi, serta memberikan manfaat besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia yang menjadi tulang belakang ekonomi domestik.

Penandatanganan Kawasan Perdagangan Bebas Asean–China 3.0 (Asean-China Free Trade Area 3.0) turut membawa impak strategik kepada Malaysia. Ia menandakan komitmen bersama ke arah perdagangan yang adil, transformasi digital dan tenaga mampan, iaitu tiga bidang yang selaras dasar pembangunan ekonomi negara. Hubungan ekonomi Malaysia-China kini bergerak ke tahap baharu, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan teknologi hijau di rantau ini.

Selain itu, melalui Sidang Kemuncak Pemimpin Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (Regional Comprehensive Economic Partnership – RCEP) yang kelima, kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk utama pelaburan ke Asean diperkukuhkah memberikan kelebihan daya saing kepada industri eksport negara dan memperluaskan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dari segi teknologi dan kelestarian, hasil Sidang Kemuncak Asean ke-47 mempercepatkan pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Asean Digital Economy Framework Agreement – Defa) serta Grid Tenaga Asean (Asean Power Grid). Kedua-dua inisiatif ini membawa peluang besar kepada industri Malaysia dalam bidang data raya, keselamatan siber, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau. Malaysia berpotensi menjadi peneraju dalam penyelesaian tenaga dan digital rentas sempadan Asean, sekali gus menarik pelaburan baharu berimpak tinggi.

Lonjakan modal diplomasi dan pengaruh Malaysia di pentas serantau

Sidang kemuncak ini turut menyaksikan lonjakan besar modal diplomasi Malaysia. Kejayaan kemasukan penuh Republik Demokratik Timor-Leste sebagai anggota ke-11 Asean mencerminkan keupayaan Malaysia sebagai pemudah cara yang berwibawa dalam perluasan keanggotaan. Langkah ini mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara yang komited terhadap prinsip kesepaduan serantau dan solidariti Asia Tenggara.

Pada masa sama, Malaysia menjadi perantara utama kepada Perjanjian Kuala Lumpur (The Kuala Lumpur Accord) antara Thailand dan Kemboja. Ini satu kejayaan diplomatik besar yang berjaya menamatkan ketegangan sempadan dua negara. Peranan aktif Malaysia dalam memudah cara rundingan ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara sebagai pengantara amanah, tetapi juga membawa manfaat langsung kepada keselamatan serantau yang stabil, sekali gus melindungi laluan perdagangan dan pelaburan Malaysia.

Bawah kepengerusian Malaysia juga, Asean meluluskan dokumen strategik ‘Wawasan Asean 2045: Masa Depan Bersama Kita’ bersama empat pelan strategiknya. Hala tuju dua dekad ini selari aspirasi Malaysia untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang berasaskan inovasi, keterangkuman sosial dan pembangunan mampan.

Penyertaan Algeria, Uruguay dan Finland dalam Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation – TAC) turut memperluas jaringan diplomatik Malaysia. Ia menempatkan Malaysia sebagai pintu masuk kepada hubungan antara Asean dan dunia, memperkukuh peranan Putrajaya sebagai pusat diplomasi serantau yang dihormati.

Keamanan, tadbir urus dan kedaulatan undang-undang memanfaatkan Malaysia

Dalam dimensi politik dan keselamatan, Malaysia memacu pelaksanaan Pelan Strategik Komuniti Politik dan Keselamatan Asean 2045 (Asean Political-Security Community Strategic Plan 2045) yang menekankan pengukuhan sistem perundangan, keadilan dan keselamatan serantau. Langkah ini memberi kesan positif kepada Malaysia dengan mewujudkan persekitaran geopolitik lebih stabil dan selamat bagi perdagangan, pelancongan serta pelaburan asing.

Melalui inisiatif Malaysia, Asean menubuhkan Kumpulan Kerja Mesyuarat Pegawai Kanan Mengenai Pengubahan Wang Haram (SOMTC WG-ML) bagi menentang jenayah rentas sempadan dan jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian. Selain itu, rangka kerja Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus memperkukuh latihan pertahanan bersama serta memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang pertahanan dijalankan secara beretika dan bertanggungjawab.

Dari aspek hak asasi manusia, Suruhanjaya antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) memperkenalkan Garis Panduan Asean mengenai Prinsip Tidak Menghukum bagi melindungi mangsa pemerdagangan manusia, seiring agenda Malaysia memperkasa hak asasi dan keadilan sosial. Sementara itu, Perjanjian Ekstradisi Asean yang hampir dimuktamadkan serta Mesyuarat Pendakwa Raya/Peguam Negara Asean (APAGM) memperkukuhkan kerjasama pendakwaan rentas sempadan. Ini suatu langkah penting dalam usaha Malaysia mengekang jenayah transnasional.

Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak Asean ke-47 memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja berperanan aktif dalam rantau Asia Tenggara, tetapi juga menjadi pemangkin kepada kestabilan, kemakmuran dan perpaduan serantau. Sidang ini memberi impak langsung terhadap ekonomi, diplomasi dan keselamatan Malaysia melalui peningkatan integrasi perdagangan, peluasan jaringan diplomatik serta pengukuhan kerjasama keselamatan dan perundangan.

 

Penulis ialah pengarah Ghazali Shafie Executive Enhancement Programme, Ghazali Shafie Graduate School of Government, Universiti Utara Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.