Kesihatan mental, pendidikan terganggu cabaran baru pasca PKP, kata Unicef

Kesihatan mental, pendidikan terganggu cabaran baru pasca PKP, kata Unicef

Agensi PBB itu berkata, perintah sekatan memberi tekanan tambahan kepada keluarga yang sudah bergelut dengan kemiskinan.

Unicef berkata, kanak-kanak tidak hadir ke sekolah, terutama yang berada di kelas menengah atas.
PETALING JAYA:
Laporan Unicef mendapati pandemik Covid-19 membawa cabaran baru mereka yang tinggal di kawasan perumahan berpendapatan rendah, termasuk tahap kesihatan mental semakin merosot dan kesukaran terus memberi pendidikan kepada anak.

Laporan terbaru agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu yang bertajuk “Keluarga di Pinggiran” melibatkan tinjauan 500 penghuni rumah pangsa kos rendah di Lembah Klang yang terdiri daripada hampir 3,000 individu.

Isu kestabilan dan kesihatan mental banyak mempengaruhi ketua isi rumah (KIR) antara yang ditekankan dalam tinjauan itu, dengan wanita dilaporkan lebih cenderung terjejas mengalami tekanan mental dan emosi.

Sehingga 22% melaporkan mereka tertekan atau mengalami emosi sangat tidak stabil, dengan 29% daripadanya ialah KIR wanita.

Sementara itu, 42% KIR lelaki dan 51% KIR wanita dilaporkan bimbang dengan masa depan mereka, termasuk kemampuan mereka untuk membeli makanan kepada keluarga serta simpanan persaraan yang semakin berkurangan.

Hampir 1/3 KIR wanita turut memaklumkan sesetengah ahli keluarga mereka mengalami perubahan tingkah laku negatif, termasuk ketegangan hubungan, simptom kemurungan dan penyalahgunaan bahan yang semakin meningkat.

Tekanan tambahan

Kajian itu juga mendapati semakin ramai kanak-kanak tidak ke sekolah, terutamanya pelajar menengah atas dengan 7% dilaporkan tidak ke sekolah sejak ia dibuka semula.

Hampir 1/5 daripada semua KIR berkata, anak mereka hilang minat ke sekolah susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Akibat beban kewangan, hampir 60% isi rumah melaporkan mereka berdepan kesukaran untuk membayar yuran sekolah anak.

Ketika pembelajaran dalam talian dilaksanakan sejak PKP, hampir 90% pelajar di perumahan berpendapatan rendah menggunakan telefon bimbit sebagai peranti utama pembelajaran mereka, dengan hampir 80% tidak mempunyai akses kepada komputer, di mana laporan itu memberi amaran ia akan terus menjadi kebimbangan utama jika sekolah ditutup semula.

Sehubungan itu, lebih 3/4 ibu bapa berkata, mereka lebih suka anak ke sekolah kerana tiada ruang, internet dan peranti pembelajaran untuk belajar di rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.