Pemilik ladang sawit sedia bayar caj kuarantin untuk pekerja kembali

Pemilik ladang sawit sedia bayar caj kuarantin untuk pekerja kembali

Persatuan Minyak Sawit Malaysia mencadangkan 3 'permintaan' untuk Belanjawan 2021 bagi melindungi industri itu dan hampir sejuta pekebun kecil.

Pemilik ladang sawit sanggup membayar caj kuarantin dan mematuhi semua SOP supaya pekerja mereka kembali bekerja.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) berkata, pemilik ladang sawit bersedia menyerap semua caj kuarantin Covid-19 yang dikenakan kerajaan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja ketika ini yang menyebabkan kerugian perolehan minyak sawit sebanyak 25%.

“Kami sanggup membayar caj kuarantin dan mematuhi semua SOP yang akan diperkenalkan kerajaan.

“Tetapi, tolong benarkan semua pekerja yang balik bercuti kembali bekerja di sini,” kata Ketua Eksekutifnya, Mohd Nageeb Abdul Wahab dalam sebuah program bual bicara TV3 baru-baru ini.

Beliau berkata, persatuan itu mencadangkan 3 perkara dalam senarai “permintaan” Belanjawan 2021 bagi melindungi kesejahteraan industri minyak sawit serta hampir sejuta pekebun kecil dan pada masa sama meningkatkan pendapatan negara dari sektor pertanian.

Terdahulu, beliau dilaporkan berkata, sebelum Covid-19, industri itu sudah berdepan kekurangan 36,000 pekerja.

Malaysia yang juga pengeluar minyak sawit ke-2 terbesar di dunia, bergantung kepada pekerja asing seperti Indonesia dan Bangladesh yang merangkumi 84% daripada tenaga kerja ladang.

Tatkala pandemik menyerang dan sempadan mula ditutup, ribuan pekerja asing meninggalkan ladang sawit untuk kembali ke negara masing-masing dan MPOA berkata, sukar untuk mencari pengganti mereka.

Untuk permintaan ke-2, MPOA berharap kerajaan tidak membekukan pengambilan pekerja asing kerana larangan pengambilan pekerja boleh “membinasakan” industri itu.

“Industri memerlukan lebih ramai tenaga kerja, contohnya untuk operasi penuaian. Dengan harga minyak sawit mentah (MSM) pada masa ini yang diniagakan RM3,000 satu tan, kalau kita tidak ada pekerja, apa yang kita dapat?” soalnya.

Bagi permintaan ke-3, beliau berharap kerajaan dapat memberikan pelepasan cukai berganda untuk semua yang mengguna pakai penjenteraan dalam industri.

Mengenai harga purata MSM untuk baki 2020, beliau berkata, komoditi itu akan diniagakan antara RM2,500 dan RM2,600 setan berbanding RM2,000 setan tahun lalu.

“Harga MSM cukup baik tahun ini dibandingkan tahun lepas, kenaikannya agak ketara. Dan beralih ke separuh pertama tahun depan, harga MSM akan lebih memberangsangkan kerana jangkaan berlakunya La Nina dan ini akan mengurangkan pengeluaran tanaman.”

MPOA mempunyai 122 ahli, termasuk syarikat besar perladangan tempatan seperti IOI Corp, Kuala Lumpur Kepong Bhd, Sime Darby Plantation dan FGV Holdings Bhd.

Industri ini menghasilkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit setiap tahun yang merupakan 28% daripada bekalan minyak sawit dunia dan secara konsisten menyumbang sekitar 5% keluaran dalam negara kasar.

Industri ini juga merupakan majikan ke-2 terbesar selepas kerajaan, yang mempunyai sekitar 750,000 pekerja. Hasilnya berjumlah RM65 bilion tahun lalu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.