
Beliau berkata, akan ada “kesan teruk” terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) jika kerajaan tidak menyelesaikan masalah itu dengan segera.
Kenyataannya menyusuli laporan bahawa kekurangan pekerja dalam industri elektronik boleh menyebabkan hasil negara merosot dengan teruk.
Lim berkata, kekurangan itu mengakibatkan kehilangan daya pengeluaran, menyebabkan pelabur berpotensi tawar hati dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
Krisis buruh telah memaksa pengeluar dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) menolak tempahan bernilai jutaan ringgit.
Masalah ini sangat meruncing sehinggakan eksekutif dan pengurus kanan terpaksa ditarik untuk mengendalikan barisan pengeluaran di kilang.
Lim berkata, pelabur akan melihat ini sebagai suatu penghalang.
“Kementerian Sumber Manusia perlu segera campur tangan dan mengisi kelompongan itu kerana ia menjadi ancaman ekonomi yang besar kepada negara kita,” katanya kepada FMT.
“Bukan sahaja dalam industri elektronik, malah dalam pelbagai industri lain juga, termasuk hospitaliti.
“Saravanan tidak sepatutnya berpeluk tubuh. Beliau mesti tampil menangani masalah ini segera. Ataupun, beliau boleh cuba bekerja sehari di barisan pengeluaran di kilang untuk merasai sendiri kesulitan dialami pengeluar.”
Lim mencadangkan agar proses pengambilan pekerja asing dipusatkan di pejabat buruh negeri dan sistem dalam talian digunakan untuk pendaftaran mereka.
Beliau berkata, langkah meminta negeri mengendalikan proses itu akan membantu mengurangkan beban di peringkat kementerian dan mengurangkan kerenah birokrasi.
FMT baru-baru ini melaporkan bahawa pembuat cip negara terpaksa menolak tempahan kerana mengalami masalah kekurangan pekerja, sebahagiannya didorong oleh pembekuan pengambilan pekerja asing.
Pembekuan itu dimansuhkan pada 19 Ogos, namun ketibaan pekerja dijangka mengambil masa.
Risiko berkait bekalan buruh dikhuatiri akan menghalang pelaburan E&E baharu, mendorong pelabur sedia ada untuk keluar dan mengetepikan Malaysia daripada rantaian bekalan global.
Kekurangan pekerja boleh mengekang momentum eksport E&E, yang meningkat sebanyak 18% daripada RM386 bilion pada 2020 kepada RM456 bilion pada 2021, menjana 56% daripada lebihan dagangan Malaysia pada 2021 dan menyumbang 6.3% daripada jumlah eksport E&E seluruh dunia pada 2021.
Industri E&E di Malaysia ditunjangi oleh enam daripada 12 syarikat semikonduktor terbesar di dunia dan tiga daripada sembilan syarikat LED terbesar. Regangan pada sumber, termasuk bekalan buruh, akan diburukkan lagi apabila pelaburan baharu masuk dan pemain sedia ada mengembangkan operasi untuk menampung peningkatan tempahan antarabangsa bagi cip.
Baru-baru ini, ribuan majikan beratur di Kementerian Sumber Manusia untuk ditemuduga bagi permohonan kuota pekerja asing mereka, tetapi dilaporkan telah “ditolak”. Ramai yang telah ditemuduga masih belum menerima sebarang respons mengenai permohonan mereka.