Harga makanan kantin: Kos naik tapi terikat kontrak, pengusaha mengeluh

Harga makanan kantin: Kos naik tapi terikat kontrak, pengusaha mengeluh

Kerajaan diminta mengemas kini kontrak kantin mengikut situasi pasaran semasa, lebih-lebih lagi mengambil kira kenaikan kos ketika ini.

Pengusaha kantin sekolah di Selangor tersepit kerana kenaikan harga barang mentah menyebabkan mereka menanggung kos lebih tinggi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengusaha kantin sekolah di Selangor tersepit kerana kenaikan harga barang mentah menyebabkan mereka menanggung kos lebih tinggi, namun tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan harga makanan telah ditetapkan dalam kontrak.

Pengusaha yang dihubungi FMT berkata, kerajaan patut mengemas kini kontrak kantin mengikut situasi pasaran semasa, lebih-lebih lagi umum mengetahui bahawa semua pihak terkesan dengan kenaikan kos ketika ini.

“Pusing mana-mana pun rugi,” kata Khairudin, 41, yang mengusahakan kantin di sebuah sekolah di Semenyih.

Kontraknya dengan sekolah telah menetapkan harga makanan di kantin dan penyelarasan harga hanya boleh dirundingkan semula apabila kontrak tamat, katanya.

“Apa yang boleh saya buat hanya sekadar mengurangkan penjualan bahan makanan yang lebih mahal…tetapi jualan pula akan merosot.”

Ng, 37, yang mengusahakan kantin di sebuah sekolah rendah di Puchong, menggesa kerajaan mengkaji semula kadar bayaran kepada pengusaha untuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Katanya, bayaran sebanyak RM2.50 bagi setiap hidangan tidak lagi memadai ketika ini kerana pengusaha disyaratkan menggunakan bahan asli dan berkualiti.

Noraziyan, 36, yang mengusahakan kantin di sebuah sekolah rendah di Shah Alam berkata, sekalipun harga makanan dinaikkan, pengusaha tidak mendapat keuntungan yang banyak.

Noraziyan mengeluh kerana pengusaha kantin sepertinya berdepan kenaikan mendadak harga barang mentah selepas terpaksa menanggung kerugian akibat penutupan sekolah ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Apabila kantin dibuka semula, saya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara sebagai modal untuk operasi semula,” katanya.

Ng pula berkata, sungguhpun sewa kantin dikecualikan daripada ditutup ketika PKP, namun bekalan memasak yang disimpan dalam peti sejuk kantin terpaksa dibuang selepas tersimpan lama.

Katanya, apabila sekolah dibuka semula, mereka berdepan masalah kenaikan gaji pula lantaran masalah kekurangan pekerja.

“Dahulu gaji RM50 atau RM60 sehari. Sekarang perlu RM100 sehari dan gaji itu hanya untuk pekerja biasa, bukan tukang masak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.