
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Jawahar Ali Taib Khan berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan terbaharu Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, permohonan itu disampaikannya sendiri kepada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam pertemuan semalam.
“Kita minta kelonggaran untuk bawa masuk pekerja asing sebab sekarang dibekukan, tiada masalah untuk patuh segala syarat.
“Jumlah 25,000 ini bukan sahaja untuk restoran mamak tetapi untuk Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura dan Persatuan Peniaga Tomyam,” katanya kepada FMT.
Semalam, selepas sesi libat urus dengan pemain industri bagi Rancangan Malaysia ke-13, Rafizi berkata kerajaan akan terus beri tumpuan pada usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh asing berkemahiran rendah.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pembekuan permohonan kuota penggajian pekerja asing diteruskan sehingga suatu tarikh akan dimaklumkan kelak.
Beliau menjelaskan ketetapan itu dibuat memandangkan jumlah pekerja asing dalam negara setakat 15 Sept 2024 didapati menghampiri jumlah siling ditetapkan.
Saifuddin berkata Kementerian Ekonomi menetapkan had jumlah pekerja asing di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah 15% daripada keseluruhan guna tenaga kerja.
Sementara itu, Jawahar berkata cadangan mengembalikan semula sistem ‘Gantian Pekerja’ perlu dibuat kerana dilihat berkesan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di restoran.
Menurutnya, menerusi dasar itu pengusaha restoran boleh menggantikan pekerja yang telah pulang ke negara asal.
“Kita faham kebimbangan tentang isu lambakan pekerja asing tetapi bagi industri makanan jumlahnya masih terkawal.
“Kalau dapat perkenal semula dasar ini, permohonan baharu pekerja asing dapat dikurangkan,” katanya.