
Menjawab dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa mereka tidak dibawa berbincang dalam membuat keputusan itu, beliau berkata, pihaknya telah berbincang dengan kesatuan itu dan memaklumkan bahawa keputusan dibuat atas permintaan majikan.
“Kami nilai ikut semua permintaan. Memang MTUC minta saya segerakan penguatkuasaan pindaan waktu bekerja.
“Namun, saya perlu nilai dari semua aspek, perlu dengar semua pendapat, baru boleh nilai,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-23 (COSH) 2022 di Pusat Konvensyen KL.
Beliau berkata, dalam keadaan wujudnya masalah kekurangan pekerja pada masa ini, majikan perlu diberi ruang sebelum pindaan itu dilaksanakan.
“Mungkin dalam sebulan dua ini kami dapat selesaikan (masalah) kekurangan buruh, jadi sesuai untuk melaksanakan pindaan waktu bekerja ini.” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, alasan majikan berhubung penangguhan pindaan waktu bekerja adalah rasional kerana mereka baru sahaja dapat menangani masalah kekurangan pekerja.
Tambahnya, kemungkinan besar majikan menghadapi masalah besar jika pihak kerajaan melaksanakan polisi pengurangan waktu bekerja dalam masa terdekat.
“Sebagai kerajaan, kami perlu prihatin dalam menjaga kebajikan semua pihak. Walaupun kami selaku kementerian yang berperanan menjaga pekerja, tetapi saya sebagai menteri perlu pastikan kelangsungan majikan. Tanpa majikan, tiadalah pekerja.” katanya.
Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, pindaan Akta Kerja 1955 berhubung pengurangan waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, akan berkuat kuasa pada 1 Sept.
Pindaan itu bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta memberi kelonggaran dalam waktu bekerja, selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Bagaimanapun, Jumaat lepas, Saravanan mengumumkan pelaksanaan pindaan itu akan ditangguhkan ke 1 Januari tahun depan.
Keputusan itu dibuat untuk membantu pihak industri yang sebelum ini menggesa kementerian supaya menangguhkan pelaksanaan sehingga ekonomi pulih.
Keputusan kerajaan yang berbolak balik ini dikritik MTUC yang terkejut dan kecewa dengannya.