Apa masalah individu ditahan pakai baju jingga, soal KP SPRM

Apa masalah individu ditahan pakai baju jingga, soal KP SPRM

Polis juga pakaikan baju ungu tapi baju jingga pula jadi isu, kata Azam Baki.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Baju jingga yang dipakaikan pada individu yang dituduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak harus dijadikan isu, kerana ia antara lain memudahkan pihak berkuasa membezakan antara penghuni lokap, kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki

“Disimpan dalam lokap mesti pakai baju jingga dalam lokap. Ia memudahkan kami kenalpasti dan membezakan diantara orang kena tahan (OKT) dengan individu yang tidak ditahan. Jika tidak dipakaikan, dia berlegar dalam lokap juga kami tidak tahu siapa dia,” katanya dalam wawancara MACC.FM hari ini.

Katanya, pemakaian baju itu juga menyukarkan OKT lari dari lokap dan menghilangkan diri.

“Orang kena tanggung adalah kami. Pegawai saya kena buang kerja,” tambahnya.

Azam sedar beberapa pihak mempertikaikan pemakaian baju jingga itu, namun beliau mengambil dasar lebih mudah iaitu apa kata undang-undang.

“Apa masalah pakai baju jingga? Polis juga pakai baju ungu atau sebagainya. Bila SPRM pakai baju jingga timbul pula isu,” katanya.

Azam berkata baju jingga tidak sepatutnya jadi bahan perdebatan, kerana paling utama tugas yang dijalankan telus dan berkesan.

“Kalau saya hendak fikirkan tentang sejuta pendapat mengatakan boleh atau tidak, maka susah untuk saya jawab. Kami diberi kuasa, amanah untuk fikirkan perkara yang terbaik dan buat masa ini, ini adalah yang terbaik.”

Azam menambah pemakaian baju jingga sewaktu dibawa ke mahkamah atau permohonan reman sebenarnya terserah pada budi bicara penyiasat.

“Ada kes yang mungkin perlu dan ada kes yang tidak perlu,” katanya.

Sementara itu, Azam turut memaklumkan perkembangan kes penahanan penguatkuasa yang didakwa melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, Selangor susulan pendedahan oleh seorang ahli perniagaan.

“Kita sudah menjalankan siasatan dan ramai pihak ditangkap dan siasatan ini berada di penghujung. Tunggu masa sedikit, kita akan bawa kepada timbalan pendakwa raya. Tindakan punitif juga akan diambil.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.