
Ada satu masalah dengan politik hari ini. Bukan kerana perbezaan ideologi tapi jauh lebih besar iaitu krisis kepercayaan.
Bagi kebanyakan anak muda, mengikuti perkembangan politik bukan lagi sesuatu yang mengujakan. Malah, bagi sesetengah orang ia seolah-olah memenatkan. Letih mendengar janji sama diulang, retorik tidak berubah, dan penjelasan yang semakin sukar dipercayai.
Hakikatnya, masalah politik di Malaysia bukan kerana kita kekurangan idea atau dasar. Sebaliknya, kita sudah terlalu biasa dengan lambakan kata-kata atau ‘janji manis’ yang akhirnya tidak membawa apa-apa makna.
Kita sering terbuai dengan istilah seperti ‘reformasi’, ‘ketelusan’ dan ‘akauntabiliti’. Semuanya tampak dan kedengaran meyakinkan seolah-olah perubahan besar sedang berlaku. Namun, apabila kehidupan seharian rakyat masih sama dengan isu seperti kos sara hidup berterusan meniti dan seakan tidak lekang di bibir, kata-kata ini mula kedengaran kosong.
Di sinilah bermulanya masalah sebenar iaitu retorik!
Retorik itu sendiri bukan sesuatu yang salah. Dalam politik, ia memang diperlukan untuk menjelaskan dasar dan membina keyakinan, tetapi apabila diulang berkali-kali tanpa disusuli tindakan yang jelas, ia akhirnya menjadi alat untuk menutup realiti bukan menjelaskannya.
Kita dapat lihat bagaimana bahasa digunakan untuk ‘melembutkan’ keadaan. Masalah besar disebut sebagai ‘cabaran’. Kelewatan digambarkan ‘masih dalam perancangan’. Janji yang tidak dikotakan jarang sekali dijelaskan secara terus sebaliknya diganti dengan cerita atau naratif baharu.
Bagi generasi muda yang membesar dalam era maklumat pantas, pendekatan seperti ini semakin sukar diterima.
Di platform media sosial seperti TikTok, Facebook serta Instagram maklumat bergerak cepat dan perbandingan mudah dibuat. Rakyat boleh melihat apa dijanjikan dan apa yang benar-benar berlaku. Apabila jurangnya terlalu besar, kepercayaan bukan sahaja menurun tetapi boleh hilang sepenuhnya.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila politik negara kelihatan tidak stabil. Perubahan sokongan, peralihan kuasa, dan keputusan yang bercanggah sering disertai penjelasan yang kedengaran logik, tetapi tidak semestinya meyakinkan.
Akhirnya, rakyat mula tertanya-tanya: jika kata-kata boleh berubah mengikut keadaan, apa sebenarnya yang boleh dipegang?
Namun, kita juga perlu jujur. Masalah ini bukan datang daripada ahli politik semata-mata. Cara kita sebagai masyarakat turut menyumbang. Kita mudah tertarik kepada kenyataan sensasi, cepat berkongsi tanpa menyemak, dan tidak sabar membuat kesimpulan.
Dalam suasana seperti ini, retorik bukan sahaja terus hidup—malah ia semakin subur.
Justeru, jika kepercayaan mahu dipulihkan, perubahan perlu bermula dengan cara kita bercakap mengenai politik. Pemimpin mesti lebih berani bercakap jujur dengan mengakui kelemahan, memberikan penjelasan telus, dan tidak berselindung di sebalik bahasa yang terlalu berhati-hati.
Berkatalah benar kerana orang yang bercakap benar lebih disanjung, walaupun kebenaran itu sering kali pahit.
Pada masa sama rakyat juga perlu lebih kritikal. Tidak semua yang tular itu benar, dan tidak semua kedengaran baik itu tepat.
Kepercayaan tidak akan kembali hanya dengan lebih banyak ucapan atau slogan. Ia hanya boleh dibina apabila apa yang dikatakan selari dengan apa dilakukan.
Selagi retorik menggantikan realiti selagi itulah politik akan terus dipandang sinis, dan mungkin itulah masalah paling besar. Bukan kerana rakyat tidak peduli tetapi mereka sudah tidak lagi percaya. Ibarat ‘cinta kehilangan bisanya’, nescaya binasalah!
Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.