
Bercakap kepada FMT, Arvin Tajari berkata walaupun ‘Reset’ Sabah didukung bekas ahli Bersatu yang menyokong Hamzah Zainudin iaitu pengasasnya, gerakan itu dilihat belum berupaya menampilkan pembawaan jelas sesuai dengan naratif politik tempatan.

“Sentimen menolak parti nasional masih kuat selepas ‘tsunami politik’ Sabah,” kata ahli akademik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) merujuk sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang mendominasi PRN November lalu.
“Jika Reset tidak membawa pendekatan lebih lokal, kemungkinan mengulangi kegagalan PN amat besar.”
Pada PRN17, parti berpangkalan di Semenanjung, Barisan Nasional (BN) hanya menang enam kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) masing-masing satu.
Arvin mengulas dakwaan Ketua Reset Sepanggar, Norsahar Ahmad, gerakan diperkenalkan Hamzah – bekas timbalan presiden Bersatu yang juga bekas ketua pembangkang – sehari selepas dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu, semakin berkembang di Sabah.
Beliau berkata, kegagalan menepati aspirasi tempatan berisiko menyebabkan ‘Reset’ yang majoriti ahlinya daripada PN khususnya Bersatu mengalami nasib sama seperti bekas komponen mereka itu.
“Gerakan itu juga belum benar-benar menembusi kesedaran umum, sebaliknya hanya dikenali di kalangan pemerhati politik,” katanya, memaklumkan cabaran itu menjadi lebih sukar apabila ‘Reset’ belum menonjolkan perbezaan jelas berbanding parti nasional lain.

Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berpandangan, dakwaan ‘Reset’ semakin berkembang perlu dinilai secara realistik berdasarkan penerimaan sebenar rakyat.
“Walaupun naratif pembaharuan dibawa, realitinya pengundi Sabah kini lebih skeptikal terhadap gerakan yang dilihat berkiblatkan Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata, kegagalan memahami keperluan dan identiti politik tempatan boleh menyebabkan ia ditolak sebelum sempat bertapak kukuh, sama seperti kesukaran dihadapi gabungan nasional lain untuk mendapat tempat di Sabah.
“Jika hala tuju tidak jelas dan tidak selari kehendak akar umbi, gerakan ini hanya akan menjadi watak sampingan dalam politik Sabah,” katanya.