Konflik Asia Barat: RMK13 perlu diteliti semula

Konflik Asia Barat: RMK13 perlu diteliti semula

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Belanjawan 2026 juga perlu dianalisis mengikut kesesuaian sejajar perkembangan geopolitik semasa.

kl skyline
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata perancangan ekonomi negara perlu mengambil kira realiti baharu berikutan ketidaktentuan akibat krisis tenaga global. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) harus diteliti semula susulan konflik Asia Barat antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata, Belanjawan 2026 dibentang Oktober tahun lalu juga perlu dianalisis mengikut kesesuaian berikutan perkembangan terbaharu geopolitik.

Katanya, perancangan ekonomi negara perlu mengambil kira realiti baharu berikutan ketidaktentuan akibat krisis tenaga global yang turut memberi kesan kepada rantaian bekalan, harga komoditi serta kos keseluruhan ekonomi.

“RMK13 harus dilihat semula. Malah, bajet 2026 yang telah dibentangkan Oktober tahun lalu harus dilihat analisis yang baharu dan untuk Bajet 2027 juga harus dilihat fakta-fakta yang baharu ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama Forum BN ke-10 mengenai kesan konflik AS-Iran ke atas Malaysia di Auditorium Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Zahid berkata, Umno-BN juga akan menggunakan pengalaman lalu sebagai kerajaan dalam mendepani krisis yang bakal berlaku, termasuk pengalaman mengendalikan Covid-19 serta krisis kewangan 1997.

Zahid ketika mengulas lanjut, berkata konflik tersebut telah menjejaskan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20% bekalan minyak dunia, sekali gus memberi tekanan kepada harga minyak global dan kos operasi.

Katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengadakan mesyuarat setiap minggu bagi membincangkan langkah jangka pendek dan sederhana.

Mengulas lanjut, Zahid berkata pendirian Malaysia berhubung konflik Asia Barat yang seimbang dari sudut diplomasi diterima baik kebanyakan negara, termasuk Iran dan AS.

Beliau berkata, pendirian Malaysia yang berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa serta keamanan turut dihormati negara-negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Menerusi forum kesan konflik AS-Iran itu menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir yang bertindak sebagai moderator, dengan panel terdiri bekas menteri luar, Syed Hamid Albar, Presiden Research Malaysia, Rais Hussin, dan Pensyarah Institute Pengajian Asean dan Antarabangsa UIA, Phar Kim Beng.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.