
Oleh Wai Tee
Tahap Sara diri (SSL) beras tempatan, ditanam dan dikeluarkan petani Malaysia selama ini dianggarkan sekitar 62%. Keperluan beras negara selebihnya (38%) bergantung kepada bekalan beras import India, Thailand dan Vietnam. Beras jenis lain terdiri dari beras wangi, beras basmati dan lain-lain.
Amat sukar sebenarnya membezakan antara beras putih tempatan dengan beras putih import melainkan melalui warna label (biru muda) pada pembungkusan beras, membuka ruang kepada kepada manipulasi orang yang tidak bertanggungjawab.
Jika semua B40 dan M40 memakan beras putih tempatan, pastinya bekalan beras terbabit yang mencatatkan SSL 62% pada 2021 tidak mencukupi menampung keperluan kumpulan. Itu tidak termasuk beras tempatan yang turut dan banyak digunakan rakyat asing dan peniaga kecil menjalankan perniagaan nasi campur atau produk berasaskan beras.
Dari cerapan itu, tidak semua golongan M40 dan B40 menggunakan beras putih tempatan. Ini kerana perbezaan harga antara beras tempatan dengan beras putih import hanyalah sekitar RM6 untuk 10kg atau 60 sen sekilo di samping citarasa masing-masing.
Justeru tiada isu bekalan beras tempatan ketika itu kerana sebahagian besar golongan M40 dan ada segelintir B40 menggunakan beras import. Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang menggunakan beras wangi dan beras basmati sebagai diet mereka.
Mengapa bekalan beras tempatan tiba-tiba tidak cukup
Namun, akibat isu geopolitik seperti peperangan serta Covid-19 dan faktor cuaca seperti banjir serta kemarau yang menjejas pengeluaran, negara pengeksport beras seperti India telah menghentikan eksport beras. Harga beras putih import tiba-tiba naik mendadak.
Kenaikan harga itu mendorong kebanyakan rakyat Malaysia “berpindah” dari beras putih import kepada beras putih tempatan. Pastinya 62% SSL tidak dapat menampung keperluan 80% rakyat Malaysia. Ini tidak termasuk peniaga kecil serta warga asing yang kita sedia maklum tahap kuantiti penggunaan mereka.
Kini beras tempatan menjadi rebutan semua orang dalam usaha untuk meredakan kos sara hidup masing-masing. Perbezaan harga antara beras tempatan dengan beras import yang melebar melebihi RM10 untuk 10kg atau RM1 sekilo merupakan faktor utama perpindahan tersebut.
Dalam keadaan semua orang golongan B40, M40, peniaga kecil dan warga asing berebut-rebut mendapat beras tempatan, sudah pasti bekalan beras itu cepat habis dari rak pasar raya dan tempoh untuk menerima bekalan baharu bagi sesuatu kawasan menggambarkan bekalan tiada di pasaran. Sama seperti kisah minyak masak peket bersubsidi.
Maka bertempik orang ramai terutama mereka yang memang tidak mahu memahami keadaan sebenar malah ada di antaranya menularkan isu berkenaan menjadi isu politik.
Bekalan beras meliputi beras tempatan, beras putih import, beras wangi dan beras basmati sebenarnya mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia. Hanya bekalan beras tempatan terganggu kerana permintaan melebihi penawaran (bekalan).
Semua sedia maklum hasil tuaian padi negara kebanyakannya setiap enam bulan. Kerajaan sedang berusaha menggalakkan petani untuk meningkatkan penghasilan padi tempatan menjadi lima musim untuk dua tahun bagi meningkatkan SSL beras tempatan kepada 80%. Tetapi itu semua perlu mengambil masa.
Kita harus memberikan ruang kepada kerajaan memperbetulkan aspek keterjaminan makanan negara terutama dalam meningkatkan hasil beras negara yang mengambil masa. Ia bukan boleh dibuat sekelip mata, selain terkesan faktor cuaca seperti banjir, kemarau, dan ribut selain serangan makhluk perosak.
Kartel?
Ada yang mendakwa bahawa kartel terlibat dalam ‘ketiadaan’ bekalan beras tempatan di pasaran. Kartel ini juga dikatakan terlibat dalam penentuan harga beras termasuklah beras import yang telah melonjak harganya.
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan agensi di bawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan pasti sedang melakukan penyiasatan kerana ini adalah soal besar dan utama melibatkan soal keselamatan makanan negara.
Kerajaan menetapkan harga padi di peringkat petani pada RM120 per tan metrik atau RM1.20 sekilo, selain subsidi RM500 per tan metrik, menjadikan pendapatan petani sekitar RM1,700 per tan metrik. Padiberas Nasional Bhd (Bernas) pula membeli dari petani pada kadar RM1,350 per tan metrik.
Bermakna harga kos di peringkat petani adalah sekitar RM1.20 hingga RM1.35 sekilo. Beras putih tempatan pula dijual di pasaran pada harga RM26 untuk 10kg atau RM2.60 sekilo. Perbezaan ini adalah untuk menampung kos-kos lain seperti pembungkusan, pengangkutan, tenaga kerja, promosi dan pemasaran.
Beras putih import pula sekarang dijual pada harga sekitar RM40 bagi 10kg tau RM4 sekilo. Beras jenis itu tidak termasuk beras wangi dan beras basmati.
Disebabkan tiada kaedah tuntas untuk mengenal pasti beras putih import dengan beras putih tempatan, sudah tiba masanya kerajaan mencari jalan keluar kepada masalah bekalan dan salah satunya mengurangkan ruang manipulasi dari kedua-dua jenis beras tersebut.
Apakah solusinya? Kemungkinan tiada perlu lagi perbezaan kategori beras putih import dan tempatan. Seragamkan kepada satu jenis beras putih dan terpulang untuk dinamakan samada beras rakyat atau beras rahmah atau beras madani.
Dan terpulang peratus percampuran antara beras putih import dan beras tempatan. Yang penting SSL dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 80% dan biarkan 20% dari rakyat Malaysia memilih jenis beras pilihan mereka.
Bagaimana pula harganya? Tiada pilihan kecuali satu harga dan terpulang sama ada harga kawalan tau harga diapungkan. Yang penting harga yang seimbang dan menang-menang untuk semua peringkat petani, pemborong, peniaga dan pengguna.
Ketika itu diharapkan tiada lagi manipulasi harga, penipuan beras tempatan dibungkus dengan label beras import dan seumpamanya. Kita yakin pengguna amat prihatin terhadap nasib petani tempatan, inilah masanya kita sedia menerima harga seimbang dan adil lagi patut patut itu untuk kemaslahatan semua peringkat.
Penetapan beras menjadi satu jenis beras putih dan harga seimbang serta berpatutan dapat menjamin bekalan untuk rakyat malaysia secara berterusan. Rakyat Malaysia mungkin boleh mati jika tidak makan nasi sekali sehari.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.