Pengguna pilih beras harga berpatutan, berbanding BPT, kata KPKM

Pengguna pilih beras harga berpatutan, berbanding BPT, kata KPKM

Tinjauan KPKM pada Program Khas BPT Bersubsidi menunjukkan permintaan terhadap BPT kira-kira sebanyak 18.2 juta kampit daripada sasaran asal 24 juta kampit.

Beras
Kerajaan akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih susulan penamatan program khas BPT esok.
PETALING JAYA:
Rakyat dilihat cenderung memilih beras ditawarkan pada harga berpatutan berbanding semata-mata bergantung kepada pilihan beras putih tempatan (BPT) yang disubsidi, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Kementerian itu berkata trend dilihat berdasarkan permintaan sepanjang Program Khas BPT Bersubsidi bermula 1 Mac lalu dan akan tamat esok.

“Berdasarkan tinjauan oleh KPKM terhadap trend permintaan sejak program mula dilaksanakan, permintaan terhadap BPT adalah kira-kira sebanyak 18.2 juta kampit (75.8 peratus) daripada
sasaran asal sebanyak 24 juta kampit.

“Trend ini menunjukkan rakyat lebih cenderung kepada beras yang ditawarkan pada harga berpatutan, berbanding semata-mata memilih BPT,” katanya dalam kenyataan.

Program BPT Bersubsidi antara usaha kerajaan dalam menyasarkan subsidi dengan lebih berkesan, di samping menjadi sebahagian daripada fasa transisi pembekalan beras putih di Malaysia.

Inisiatif itu turut dilancarkan susulan dakwaan kekurangan BPT yang menyebabkan orang ramai beralih ke Beras Putih Import (BPI).

Sementara itu, KPKM berkata pihaknya akan menilai semula mekanisme baharu pembekalan beras putih susulan penamatan program khas BPT bagi memastikan rakyat terus mendapat bekalan mencukupi pada harga berpatutan.

Menurutnya, penilaian itu turut mengambil kira penyelarasan harga BPI pada kadar RM2,600 satu tan metrik di pintu gudang BERNAS yang berkuat kuasa 15 Mei lepas, serta langkah menangani amalan pencampuran beras di pasaran.

“KPKM juga memberikan jaminan bahawa bekalan beras akan terus dipantau bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan yang mencukupi pada harga berpatutan,” menurutnya,

Program BPT Bersubsidi yang dilaksanakan pada 1 Mac lepas ialah usaha kerajaan dalam menyasarkan subsidi dengan lebih berkesan, di samping menjadi sebahagian daripada fasa transisi pembekalan beras putih di Malaysia.

Berdasarkan tinjauan KPKM sepanjang enam bulan perlaksanaan program berkenaan, permintaan terhadap BPT kira-kira 18.2 juta kampit atau 75.8 peratus daripada sasaran asal 24 juta kampit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.