
Badrul berkata penjualan disasarkan kepada 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar, dengan setiap ketua dihadkan kepada dua kampit sebulan.
Menurutnya, pembelian menerusi 36,000 peruncit berlesen seluruh negara, selain Jualan Agro Madani dan Rahmah ditumpukan di kawasan miskin bandar seperti di flat dan rumah pangsa.
“Ia akan dijual dengan pelbagai jenama pada harga RM26 sekampit,” katanya pada sidang media.
Bagi memastikan pelaksanaan itu berjalan lancar, Badrul berkata setiap peruncit perlu mengikut arahan khusus dikeluarkan bagi mengatasi masalah manipulasi dan sorok beras.
“Akan ada arahan kepada peruncit untuk mematuhi tatacara penjualan beras putih tempatan bermula 1 Mac ini. Kita yakin dengan mekanisme yang kita mampu uruskan dengan terbaik,” katanya pada sidang media.
Badrul berkata kumpulan pertama yang akan menikmati PBT bersubsidi ialah di Jualan Agro Madani pada Khamis ini di Kedah.
Sebanyak 10,000 hingga 20,000 kampit beras tempatan akan dijual sempena lawatan kerja Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Alor Setar.