Kerajaan rangka simulasi harga beras campuran, kata kementerian

Kerajaan rangka simulasi harga beras campuran, kata kementerian

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata tiada undang-undang jelas berkait amalan campur beras tempatan dan import yang sudah berlaku sejak 50 tahun lalu.

beras
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, pihaknya sedang merangka simulasi cadangan penetapan harga bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif bagi pertimbangan Jemaah Menteri. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Aktiviti percampuran beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) bukan amalan baharu, sebaliknya sudah berlarutan 50 tahun, kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Justeru, kementerian telah diarah memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan.

Katanya, ketika ini tiada peruntukan jelas mengenai pendakwaan kesalahan percampuran di mahkamah melibatkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, serta perundangan subsidiari.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Dis 2024 mendapati pencampuran BPT dan BPI bukanlah amalan baharu, sebaliknya telah berlaku sejak tahun 1970-an dan tiada sebarang usaha dijalankan sejak 50 tahun lalu untuk mengawal aktiviti ini.

“Mengambil kira pandangan pesawah, pengguna dan industri, kerajaan Madani mengambil tanggungjawab untuk mengawal amalan ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, pihaknya sedang merangka simulasi cadangan penetapan harga bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, siasatan kehilangan beras putih tempatan mendapati punca kekurangan BPT disebabkan struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT, dan tiada peruntukan khusus larangan campuran beras.

Kementerian menjelaskan, dalam situasi itu, pesawah mahu mendapatkan harga padi yang tinggi bagi meningkatkan pendapatan, pengilang dan pemborong pula ingin mengekalkan margin keuntungan, manakala pengguna hendak mendapatkan beras berharga RM26 bagi 10kg.

“Kesannya, wujud ketidakseimbangan dalam industri kerana setiap penyelarasan harga lantai belian padi tanpa disertai dengan semakan harga siling BPT boleh menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, yang akhirnya menjejaskan bekalan BPT di pasaran.”

Katanya, bagi mencari solusi ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna, kerajaan Madani melalui kementerian telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.

“Antara langkah awal diambil adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta Kawalan Padi dan Beras, menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (Marea), dan memperkasakan peranan Mardi mengenalpasti varieti beras melalui teknologi DNA,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.