
Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin, berkata ia penting bagi mengelak berlaku kekeliruan daripada peruncit dan rakyat berikutan pengumuman penjualan BPT bersubsidi bermula esok, disasarkan kepada 400,000 keluarga miskin dengan dua pek bagi setiap ketua isi rumah (KIR).
“Pada masa sekarang tak ada mekanisme sama ada perlu guna kad pengenalan atau kaedah apa.
“Elok (kerajaan) buat satu pengumuman dengan yang jelas, terutama kepada penerima. Penerima keliru kerana dia tidak tahu sama ada dapat atau tidak (beli beras BPT bersubsidi),” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Badrul Hisham Mohd, dilaporkan berkata sebanyak 24 juta kampit BPT bersubsidi pada harga RM26 bagi pek 10kg akan mula dijual dalam pasaran di seluruh Semenanjung mulai 1 Mac.
Katanya, tatacara penjualan beras akan dikeluarkan kepada semua peruncit bagi memastikan BPT bersubsidi dijual kepada mereka yang disasarkan.
Sementara itu, Ameer yang juga penasihat persatuan peruncit Bumiputera berkata, antara mekanisme cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah menggunakan data penerima Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Katanya, sistem itu membolehkan penjualan dapat dibuat kepada kumpulan sasar.
“Bagaimanapun, kita cadangkan supaya kerajaan adakan libat urus dengan semua peruncit bagi memberikan perincian mengenai mekanisme penjualan BPT itu.
“Ia membolehkan kita memberi maklum balas. Kita bimbang apabila bermulanya penjualan, beras tidak ada di pasar raya seperti Mydin, menyebabkan ada pihak menuduh kita sorok beras atau jual kepada warga asing.
“Kerajaan sentiasa ingin melakukan inisiatif yang bagus untuk membantu rakyat tetapi tidak cukup ‘consultation’,” katanya.