Bekalan beras tempatan tersedia di pasar raya seluruh negara, kata Mat Sabu

Bekalan beras tempatan tersedia di pasar raya seluruh negara, kata Mat Sabu

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata bekalan tersedia antara langkah penyelesaian sementara.

Bekalan beras putih tempatan sebelum ini sukar didapati kerana struktur harga belian padi, kos pengeluaran, dan harga siling.
KOTA BHARU:
Bekalan beras putih tempatan (BPT) kini tersedia di pasar raya di seluruh negara, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, pihak kementerian mengambil langkah penyelesaian sementara bagi memastikan bekalan beras tempatan mencukupi untuk pengguna.

“Bekalan beras tempatan sudah berada dalam pasaran dan terkawal mengikut jadual.

“Masalah bekalan makanan di dunia ini tidak akan selesai sampai bila-bila, tetapi ini adalah penyelesaian sementara yang kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis iftar bersama warga KPKM Inc.

Pada 1 Mac, kementerian memaklumkan Pasukan Petugas Khas Bersepadu Operasi BPT mendapati punca kekurangan bekalan disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran, dan harga siling BPT.

Selain itu, kementerian memaklumkan ia juga disebabkan oleh tiada peruntukan khusus mengenai larangan percampuran beras dalam Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Pada 3 Mac, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan BPT di pasaran.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dilapor berkata, perdana menteri juga mengarahkan kementerian tersebut supaya memaklumkan perkembangan berkaitan pemulihan bekalan BPT secara berkala kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.