Jangan tidur dengan rambut basah!

Jangan tidur dengan rambut basah!

Walaupun ianya dianggap normal, namun terdapat beberapa keburukan tidur dengan rambut basah.

Tidur dengan rambut kering dapat menjaga kesihatan rambut dan kulit kepala anda. (Gambar Rawpixel)

Tidur dengan rambut basah sering dianggap normal kerana kebanyakan individu sangat gemar mandi sebelum menuju ke kamar tidur.

Malah, mungkin masih ramai yang melakukannya dan tidak tahu bahawa terdapat beberapa keburukan tidur dengan rambut basah.

Persoalannya, apakah kesan tidur ketika rambut basah yang diperkatakan? Jom ikuti artikel ini untuk mengetahuinya!

Keburukan tidur dengan rambut basah

Sudah menjadi satu norma untuk individu terutama lelaki menggunakan gel atau minyak rambut setiap hari. Disebabkan itu, adalah normal juga untuk seseorang itu membasuh rambut sebelum masuk tidur.

Namun, perbuatan itu sudah pasti akan menyebabkan rambut basah dan untuk menunggunya kering dianggap menyusahkan. Akhirnya, individu cenderung memilih untuk tidur dengan rambut yang basah.

Anda mungkin akan berfikir lebih daripada dua kali sekiranya tahu keburukan tidur dengan rambut basah seperti berikut:

1. Betul ke boleh buat demam?

Masyarakat kita sering kali dimomokkan untuk tidak tidur dengan rambut yang basah agar dapat mengelak daripada demam.

Folklor orang lama ini sebenarnya mungkin sekadar palatao semata kerana ada pakar yang kata ia tidak mungkin berlaku.

Menurut Dr Chirag Shah yang merupakan pengasas laman sesawang Push Health, masih tiada kajian saintifik yang mengatakan kesan tidur ketika rambut basah boleh menyebabkan demam.

Ini kerana demam adalah keadaan kesihatan yang disebabkan oleh jangkitan virus dan bukan diakibatkan oleh suhu terlalu sejuk seperti yang dipercayai oleh kebanyakan individu.

2. Jangkitan kulat

Meskipun tabiat ini dipercayai tidak akan menyebabkan demam, namun, Dr Chirag Shah menyatakan bahawa ia boleh mengakibatkan jangkitan kulat.

Kulat seperti Malassezia boleh menjangkiti kulit kepala sekali gus membawa kepada kondisi seperti kelemumur dan dermatitis.

Untuk pengetahuan anda, kulat ini biasanya ditemui pada bantal, tilam atau cadar yang digunakan untuk tidur. Ia boleh membiak dan merebak di persekitaran yang lembap dan rambut basah adalah tempat yang ideal.

Ada kajian yang mengatakan wujud juga kulat lain seperti Aspergillus fumigatus, yang boleh mendorong kepada jangkitan lebih teruk lantas melemahkan sistem imun manusia terutamanya mereka yang menghidap asma.

3. Rambut rosak

Keburukan tidur dengan rambut basah juga dikaitkan sebagai penyebab kerosakan pada rambut.

Menurut Pakar Dermatologi Dr Adarsh Vijay Mudgil, ini kerana rambut berada pada tahap paling lemah ketika ia sedang basah. Tekanan akibat pergerakan ketika sedang tidur dengan rambut yang basah pula sudah tentu akan menyebabkan ia lebih rosak.

Ini terutamanya jika anda menocang rambut sekali gus menyebabkan ia lebih mudah rosak dan gugur akibat tekanan itu.

Jadi, adalah lebih baik untuk tidur dengan rambut yang kering okay!

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN?

Tentu sekali apa yang boleh kita semua lakukan untuk mengelakkan keburukan tidur dengan rambut yang basah adalah untuk tidak melakukannya.

Namun, sudah pasti akan berlaku situasi di mana anda terlupa, terleka atau terlalu malas untuk melakukannya kerana terlampau penat.

Oleh itu, biasakan diri anda untuk melakukan perkara ini sebelum masuk tidur:

  1. Gunakan bantal sutera: Terdapat kajian yang mengatakan bantal, cadar atau tilam sutera mampu mengurangkan tekanan akibat gesekan pada rambut ketika sedang tidur.
  2. Gunakan pelembut rambut: Ia mampu mengurangkan rambut bergumpal ketika tidur selain baik untuk kesihatan dan kecantikan rambut anda.
  3. Gunakan minyak kelapa: Ia mampu menyerap air yang terserap dek rambut sekali gus membuat ia lebih kering setiap kali sebelum anda masuk ke kamar tidur.
  4. Rapikan rambut anda: Sebaiknya, anda perlu merapi rambut dengan menyikat menggunakan jari untuk mengelakkan ia rosak atau gugur ketika sedang lena.

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.