Masukkan barang basah, kerajaan diberitahu usai semua dapat SARA

Masukkan barang basah, kerajaan diberitahu usai semua dapat SARA

Fomca berkata peluasan itu wajar kerana barangan basah seperti ayam, daging dan ikan adalah keperluan asas rakyat.

beli barang basah supermarket
Barangan basah seperti ayam, daging dan ikan tidak terkandung dalam 14 kategori produk bawah SARA sebelum ini. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu memasukkan barangan basah dalam senarai bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Cadangan itu susulan pengumuman khas Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi tadi, SARA akan diperluaskan kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas dengan bantuan ‘one-off’ RM100 melalui MyKad.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, T Saravanan, berkata peluasan itu wajar untuk manfaat secara menyeluruh kerana barangan basah seperti ayam, daging dan ikan adalah keperluan asas rakyat, namun tidak dimasukkan dalam 14 kategori produk sebelum ini.

“Kami mencadangkan kerajaan memperluaskan senarai barangan asas dalam program SARA dengan memasukkan barangan basah, bukan hanya barangan asas kering sahaja.

“Peluasan ini juga perlu melibatkan semua rakyat yang menerima RM100 secara sekali beri diumumkan hari ini, termasuk mereka yang menerima bantuan SARA secara bulanan sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Setakat ini, 14 kategori barangan diluluskan dalam bantuan SARA adalah beras, roti, telur, minyak masak, tepung, biskut, mi segera, minuman, makanan dalam tin, bahan perisa, produk kebersihan, ubat-ubatan, barangan persekolahan dan barangan kebersihan rumah.

Saravanan berkata, Fomca menyifatkan pengumuman Anwar sebagai langkah inklusif dan tepat pada masa.

Katanya, bantuan itu bukan sahaja meringankan tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam golongan berpendapatan rendah malah kumpulan pertengahan.

Ketika mengumumkan perkara itu, Anwar berkata ia bertujuan meringankan beban sara hidup serta sebagai penghargaan dan meraikan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos, yang dijangka memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.

Bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos hingga 31 Dis bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama serta kedai runcit seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.