
Aiman yang disahkan menghidap mild autisme sejak berusia enam tahun mahir menggunting rambut trend terkini antaranya ‘side part’, ‘two block’, ‘spiky’, ‘french crop’, ‘top knot’ atau bergantung kepada permintaan pelanggan.
Bapanya, Jeffry Ahmad, berkata Aiman menunjukkan minat mendalam terhadap kerjaya tukang gunting rambut pada 2018 selepas mengikuti pelbagai kelas kemahiran yang lain.
“Tujuan saya hantar (Aiman) ke kelas selain daripada memperbaiki teknik potongan rambut, saya juga mahu dia lebih mempunyai keyakinan diri dengan meningkatkan kemahiran bergaul dan berkomunikasi.

“Sekarang nampak dia semakin berani, pandai berkomunikasi dengan pelanggan dan mahir menggunting rambut,” katanya kepada FMT.
Menceritakan perjalanan anaknya dalam bidang itu, Jeffry mengakui pernah cuba untuk memasukkan Aiman ke institusi kemahiran milik kerajaan, namun tidak berjaya kerana pusat tersebut berpendapat kursus berkenaan memerlukannya menggunakan barangan tajam seperti gunting dan pisau selain tidak sesuai dengan penghidap autisme.
“Kami akhirnya hantar dia ke akademi swasta yang mengajar kemahiran itu. Aiman juga mengikuti program kerjaya di Akademi Gamuda Enabling,” katanya, memaklumkan Aiman pernah bekerja di sebuah kedai gunting rambut dan melakukan ‘house call barber’ sebelum ini.
Jeffry turut mempunyai perancangan besar untuk Aiman iaitu membuka kedai gunting rambut sendiri, namun anaknya perlu belajar dari bawah dan hal pengurusan perniagaan.
“Saya biarkan Aiman bekerja supaya dia faham kehendak pelanggan…faham bagaimana nak rekod tempahan dan terima bayaran. Kalau dah mahir, kita akan buka kedai gunting rambut (untuk Aiman),” katanya.
Sempena bulan kesedaran Autisme April ini, Jeffry ingin memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa kerjaya gunting rambut adalah pekerjaan berpotensi kepada golongan tersebut.
“Ibu bapa yang memiliki anak autisme boleh terokai potensi kerjaya ini. Manakala bagi pihak akademi, saya seru agar lebih banyak kelas kemahiran dibuka untuk membolehkan mereka (penghidap autisme) mempelajarinya sama seperti anak-anak normal lain,” katanya.