Mimpi itu apa sebenarnya?

Mimpi itu apa sebenarnya?

Siapa sebenarnya orang yang kita jumpa dalam mimpi, benarkah mereka wujud di dunia nyata?

ronasina

Malam itu saya duduk di beranda. Mata masih belum mengantuk. Saya ngelamun jauh. Gelap laman rumah dan suram belukar di sekeliling sedikit pun tak membuat saya rasa terganggu. Bunyi cengkerik dan jerit reriang gagal mengacau apa yang sedang saya fikirkan. Kawan saya Jali juga masih berjaga. Sudah jam dua pagi agaknya. Mak ayah Jali tentu sudah nyenyak tidur di dalam rumah. Saya gemar melepak di rumah Jali. Ini ketika kami masih berusia sekitar awal 20-an. Kegemaran kami berbual tentang pelbagai perkara dari yang lucu hingga yang serius. Dari hal biasa-biasa kepada hal yang rumit-rumit sehingga puntung rokok penuh di dalam bekas abu. Sedar-sedar azan subuh berkumandang di surau. Begitulah rutin kami terutama pada malam minggu.

“Engkau pernah mimpi berborak dengan orang yang kau tak kenal atau berjalan di tempat yang belum pernah kau pergi?” tanya saya kepada Jali.

“Biasalah tu. Apa pulak tak pernah?” Jali ketawa sinis. “Ketika kita tidur, roh kita berjalan dan bertemu dengan orang-orang lain dalam mimpi kita.”

Saya tergelak kecil. Angin malam makin sejuk. Saya membakar rokok sebatang lagi untuk menghalau nyamuk yang memekak di tepi telinga. Bagaikan berjangkit, Jali turut mencapai kotak rokoknya.

“Kalau macam tu…” saya melepaskan asap rokok dan menyambung cakap, “katakanlah malam tadi aku tidur dan aku bermimpi jumpa Demi Moore. Maknanya roh aku telah berjalan jauh sampai ke Hollywood dan balik semula dalam satu malam?”

“Tak mustahil semua tu. Dunia mimpi tak ada had masa dan batas undang-undang. Dalam dunia mimpi tak ada peraturan. Kita boleh bergaduh sampai membunuh. Kita boleh terbang. Kita bebas ‘ehem-ehem’ dengan sesiapa saja.” jawab Jali sambil ketawa besar. Saya pun ketawa sambil menambah secukup rasa bab ‘ehem-ehem’ itu. Anak muda, masih bujang – cakap saja lebih tapi tak ada pengalaman. Biasalah!

“Maksud aku kalau malam tu aku mimpi berborak dengan Demi Moore, takkanlah roh aku benar-benar jumpa roh Demi Moore pada waktu itu? Perbezaan masa tu satu hal. Aku rasa Demi Moore malam tu pun mesti mimpi lain. Takkan dia mimpikan aku pulak, kan? Hah! Macamana tu? Kalau roh aku jumpa roh dia mesti mimpi kami sama,” saya menyoal.

Jali terkulat-kulat, memandang ke arah halaman rumah yang gelap. Tiada cahaya bulan yang menerangi, sama macam Jali yang diam tak beri jawapan. Hanya bunyi suara cengkerik di tepinya sahaja yang langsung tidak membantu memecah persoalan.

“Siapa sebenarnya orang yang kita jumpa dalam mimpi? Benarkah mereka wujud di dunia nyata?” tanya saya.

Bertitik-tolak dari situlah, perbualan kami makin bercambah. Berkenaan mimpi – antara kepercayaan dan kefahaman. Dalam banyak ajaran agama termasuk Islam, ada kisah tentang mimpi. Ada nabi, ada wali yang mendapat alamat daripada mimpi dan ada yang berkebolehan mentafsir mimpi. Tak ketinggalan dalam al-Quran juga ada kisah raja bermimpi. Bermakna para nabi, wali, sang raja dan orang hebat bukan mimpi kosong. Ia merupakan suatu petanda atau petunjuk sehingga perlu merujuk kepada pakar tafsir. Kisah mimpi Nabi Yusuf dan tafsirannya ada disurahkan dalam al-Quran. Begitu juga mimpi Nabi Ibrahim yang bermimpi perintah tuhan sehingga membawa kepada ibadah korban. Nabi Muhammad SAW juga bermimpi (dalam surah al-Fath 48:27) memasuki Masjidil Haram dengan kemenangan. Begitulah dikisahkan bahawa mimpi juga pembawa alamat terutama mimpi insan terpilih.

“Tapi orang macam kita ni mimpi itu mainan tidur. Tak ada apa-apa. Hanya hiburan mengisi kekosongan malam,” teka Jali sambil ketawa.

“Tapi bagaimana kalau kedua-duanya benar. Satu mengarut dan satu lagi sebuah petunjuk untuk diri kita?” saya mengasak untuk melanjutkan lagi perbincangan. “Cuma kita saja yang tak tahu.”

Saya ada terbaca tentang kajian yang mengatakan mimpi hanyalah hasil aktiviti otak yang tidak tidur sepenuhnya. Maksudnya, ketika kita sedang tidur otak masih aktif. Bahagian yang mengawal emosi dan memori masih terus berfungsi ketika kita sedang lena. Sebab itulah mimpi berlaku.

Ketika siang, kita berjalan atau bekerja. Otak kita merakam imej, bunyi dan rasa sepanjang hari. Wajah-wajah orang ramai yang kita temui ketika kita ke pasar, minum di kafe atau di masjid telah terakam di dalam otak kita meskipun kita tak ambil peduli sebab orang-orang itu tak kita kenali. Ini dikira sebagai aktiviti bawah sedar kita. Macam otak kita yang sudah diprogramkan menyusun denyut nadi atau tarik dan hembus nafas. Kita tak payah susah-susah nak ingatkan otak untuk buat itu semua kerana automatik otak kita sudah buat sendiri. Begitu jugalah otak kita merakam objek dan subjek yang tak kita tumpukan. Berkemungkinan, orang-orang yang kita temui di dalam mimpi adalah orang-orang yang pernah kita jumpa di mana-mana. Kemudian, di dalam mimpi otak kita keluarkannya semula. Atau, wajah-wajah ini adalah gabungan daripada beberapa wajah yang dirakam oleh otak kita. Mata orang itu, hidung orang ini, bibir orang anu, telinga orang inu – bercampur lalu terhasillah wajah. Saya juga ada terbaca yang otak kita tak mampu menghasilkan atau mencipta wajah baharu. Maknanya, ia hanya mengutip memori-memori yang telah disimpan.

“Bagaimana dengan deja vu?” tanya Jali. “Kadangkala bila kita sampai kat sesebuah tempat, kita berasa kita pernah pergi ke situ di dalam mimpi. Atau sesuatu yang kita alami hari itu kita rasa seolah kita pernah rasai sebelumnya di dalam mimpi. Macam mana?”

“Aku percaya semuanya berpusat kat otak. Otak kita inilah komputer sebenar. Mungkin bahagian di dalam otak kita mentafsirkan yang kita macam pernah pergi ke tempat itu walhal tidak pun. Macam kita mencium bau masakan jiran sebelah rumah, tiba-tiba otak kita teringat bau itu ‘sebijik’ macam bau masakan arwah mak kita. Secara spontan, otak kita bertindakbalas lalu emosi kita pun terkait. Kita pun jadi sedih atau gembira dek kerana imbauan otak kita itu,” jawab saya.

“Dari segi amalan kesihatan badan kita pun turut mempengaruhi tidur kita. Senaman, pemakanan dan macam-macam lagi. Itu belum termasuk aktiviti harian kita yang penuh dengan tekanan dan masalah . Masalah keluarga, tempat kerja semua itu akan masuk ke dalam diri kita dan akan keluar dalam bentuk mimpi. Sebab itu ada orang sering dihinggapi mimpi seram sehingga membuat dia tertekan. Ada yang selalu mimpi sedih. Biasanya mimpi kita bentuknya gembira dan mengarut-ngarut, tak membawa sebarang makna,” sambung Jali.

Ada benarnya juga. Ia mengenai apa yang kita alami dan fikirkan sama ada sedar atau bawah sedar. Ada yang kata jika kita tak bermimpi sewaktu tidur itu tandanya kita betul-betul nyenyak kerana terlalu letih. ‘Deep sleep’ istilahnya. Atau mungkin kita tak ingat yang kita ada bermimpi sebab mimpi-mimpi kita tak meninggalkan kesan. Ada pendapat menyatakan tidur tanpa mimpi itu baik dan ada yang kata sebaliknya. Ini pun tak mutlak lagi keputusannya. Entah ya entah tak.

Saya pernah mengalami peristiwa pelik. Ketika tidur saya bermimpi yang saya berlari laju. Saya boleh rasa lajunya. Dan entah bagaimana, dalam mimpi itu saya tergelincir jatuh di atas susunan tin-tin kosong. Bunyinya bising. Apabila tersedar, saya terdengar bunyi tin biskut di dapur saya tergolek dilanggar kucing. Mengapa saya mimpi jatuh atas tin dan bunyinya serentak pula dengan jatuhnya tin di dapur? Kebetulan atau petunjuk? Adakah sesiapa boleh kupas hal ini? Atau adakah sebab sebeginilah punca munculnya teori roh keluar daripada badan ketika kita tidur? Ini memang misteri.

Apa yang saya sembang dengan Jali malam itu hanya bersandarkan logik akal sahaja tanpa kajian ilmiah saintifik, agama atau psikologi. Ah! Siapalah kami. Manalah kami tahu tentang amigdala, limbic system, hippocampus atau ru’ya dan adhghathu ahlam. Sedangkan saintis dan pakar jiwa pun masih menganggap mimpi adalah misteri, inikan pula kami. Tapi, apa salahnya berbincang dan berhipotesis, kan?

Kalau kita tengok di media sosial hari ini pun ahli bijak pandai tak berhenti bertekak pasal sejarah. Tentang kehebatan tamadun orang Melayu zaman dahulu setanding dengan kegemilangan tamadun Rom dan Parsi. Mereka mendakwa ada bukti menerusi kajian dan dapatan daripada hipotesis. Saya gembira jika mereka semua duduk membentangkan dan membincangkan. Setiap teori masih terbuka untuk dicabar selagi ada bukti untuk dikemukakan. Ia kekal benar sehinggalah ia berjaya dipatahkan. Begitu jugalah misteri dunia mimpi kita.

“Masalahnya, kita tak boleh kawal apa yang kita nak atau tak nak dalam mimpi kita. Mimpi kita bercerita ikut suka dia je. Kita macam penonton sahaja. Penonton yang dipaksa terlibat. Akhirnya bila siang, mimpi hilang, tinggal kita terkenang-kenang,” kata Jali.

“Bagaimanapun, aku rasa aku tetap mahu mimpi datang setiap kali aku tidur,” kata saya.

“Aku pun,” sambut Jali.

Asap rokok kami pun melayang dan meresap hilang dalam gelap malam seperti lenyapnya mimpi apabila datang siang.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.