
Semakin banyak sukan bukan konvensional mula mendapat tempat di gelanggang arus perdana sebagai contoh breakdance yang bakal dianjurkan pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan sukan papan luncur pada Olimpik Tokyo baru lalu.
Namun tahukah anda terdapat satu lagi permainan kegemaran kanak-kanak yang seolah mempunyai World Cupnya yang tersendiri. Temasya sukan yang dimaksudkan di sini ialah World Cup Belon.
Permainan yang membabitkan banyak aksi selaman dramatik itu mampu bertukar kompetetif apabila pemain mencuba sedaya mungkin untuk memastikan belon tidak mencecah ke lantai.
Untuk pengetahuan anda, sukan yang sama baru saja menganjurkan World Cup dan dimenangi oleh Francesco de la Cruz, 18 dari Peru. Apa yang lebih menarik lagi, perlawanan itu ditonton lebih 8 juta warganet dalam talian dari seluruh dunia.
Permainan itu dikatakan diilhamkan oleh siri video yang tular dari keluarga Arrendondo dari Oregon, Amerika Syarikat bersama tiga beradik Antonio, Diego dan Isabel yang bermain ketika perintah sekatan Covid-19 dan berkongsi keseronokan itu di TikTok.
Jelas Antonio kepada BBC, dia sering bermain permainan itu ketika kecil dan sebaik kuarantin Covid-19 bermula, kami mahu bermain sekali lagi.”
“Kami mula bertengkar sama ada ia mencecah lantai atau tidak, jadi kami rakam video dalam gerak perlahan untuk melihat hasilnya, dan akhirnya kami tergerak untuk berkongsi video itu di TikTok,” tambahnya.
“Sebaik terjaga keesokan harinya, ia telah tular, dengan sejuta tanda suka, dan kami terus bermain sehinggalah ia menarik perhatian Ibai dan Pique.”
World Cup Belon itu dianjurkan pemain bola sepak terkenal Barcelona, Gerard Pique bersama selebriti internet Sepanyol, Ibai Llanos.
Perlawanan julung kali yang berlangsung di Tarragona Sepanyol, pada 21 Oktober itu menyaksikan De la Cruz membawa pulang trofi belon emas dan wang tunai RM48,000 selepas menewaskan Jerman.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]