
Tidak dinafikan, ada beberapa logik di sebalik sentimen itu, memandangkan bagaimana doktor dipandang tinggi dan yang lebih penting, dibayar dengan setimpal untuk perkhidmatan mereka.
Tetapi bagi sesetengah orang, walau pekerjaan itu bergaji tinggi ia tetap tidak dapat menandingi kerjaya yang sangat diminati oleh seseorang.
Demikian halnya dengan Naqiuddin Rozman, seorang bekas doktor yang telah meninggalkan dunia perubatan demi meneroka alam yang sama sekali berbeza.
Hari ini, sekiranya anda berkunjung ke rumahnya di Ipoh, anda akan disambut dengan aroma manis yang tidak ubah seperti bau yis.
Seperti yang dijangka, Naqiuddin atau lebih mesra disapa Naqi, mendapati dirinya kini sibuk membakar semua jenis kek di rumah untuk santapan pelanggannya.
Ia sememangnya perubahan kerjaya yang sangat drastik, memandangkan kemahiran sebagai seorang doktor amat berbeza dengan pekerjaan sebagai pembuat kek.

Pun begitu, pembuat kek berusia 29 tahun itu gembira dengan apa yang dilakukannya, walaupun sibuk dengan banyak pesanan yang diterimanya setiap hari.
Buat masa ini, kedai kek di rumahnya, Triad of Batter yang telah pun menerima pesanan penuh sehingga akhir September ini; jelas menunjukkan reputasinya dalam kalangan kenalan di Perak adalah sangat baik.
Laman media sosialnya melimpah dengan gambar-gambar kek perkahwinan yang indah tidak ketinggalan pelbagai jenis tart dan pastri lain.
Malah, sebagai bukti kejayaannya yang semakin meningkat, dia bakal membuka kedai keknya yang pertama di Ipoh pada akhir tahun ini.
Jadi, apa sebenarnya yang mendorong pemuda ini untuk sanggup meninggalkan kerjaya perubatan yang cukup berprestij demi memberi fokus kepada bidang pembuatan kek dan pastri?
Bercakap kepada FMT, Naqi menjelaskan bahawa keputusannya untuk meninggalkan kerjaya perubatan tidak pernah dirancang sejak awal tetapi adalah kesan dari keadaan yang tidak dijangka.
“Pada tahun 2018, saya dinasihatkan untuk mengundurkan diri dari kerjaya perubatan setelah kesihatan saya bertambah buruk,” katanya, menjelaskan bahawa dia menderita gangguan psikiatri yang serius ketika itu.

“Setelah meletak jawatan, saya mula menjual kek kepada jiran tetangga dan rakan-rakan. Pada bulan Julai 2019, barulah saya menjadikan hobi membuat kek ini sebagai perniagaan yang serius, dengan membuka Triad of Batter.”
Apa yang mengejutkan, beralih kerjaya rupanya tidak sesulit yang disangkakan, kerana Naqi sendiri sudah akur dengan minatnya dalam pembuatan kek, selain mempunyai keluarga yang amat menyokong.
Rupanya ketika masih menuntut dalam bidang perubatan Russia, Naqi menghabiskan masa di dapur memasak makanan ringkas sesuai dengan statusnya sebagai seorang pelajar.
Lama-kelamaan, rutin harian ini menjadi hobi dan dari situlah minatnya terhadap pembuatan kek dan roti mula berkembang.
“Pada masa itu, rakan-rakan saya dari Malaysia sangat gemar makan kek Russia. Jadi, saya pun mula mencari resipi dalam talian dan membuatnya untuk rakan-rakan dan pensyarah saya,” jelasnya.

Oleh kerana itu, walaupun memulakan kerjaya perubatan, dia tidak pernah melupakan hakikat bahawa dia mempunyai bakat dalam pembuatan kek.
Dan dia juga cuba melakukan yang terbaik demi mengasah kemahiran membuat kek dengan mengikuti kelas dalam talian untuk lebih mendalami hobinya itu.
“Jadual kerja sudah pastinya berbeza,” katanya mengenai perubahan kerjaya itu.
“Semasa menjadi doktor pelatih, saya terpaksa bekerja sekitar 36 jam setiap minggu. Sebaliknya, pekerjaan saya sekarang adalah lebih senggang dan terkawal.”
Namun, waktu kerja yang senggang tidak bererti dia mempunyai lebih banyak masa lapang, kerana banyak pesanan yang perlu dipenuhi.
Menurut Naqi, pada hari biasa, dia mampu menghasilkan sehingga lima kek, namun hanya dua yang dapat disiapkan jika membabitkan kek perkahwinan.

Tumpuannya pada kek perkahwinan adalah sangat ekonomikal, dedahnya yang mengakui permintaan untuk kek perkahwinan sering meningkat.
Katanya, kedai keknya adalah satu-satunya di Ipoh yang menghasilkan kek perkahwinan dengan pelbagai tekstur, sekali gus menghasilkan kek yang unik dan cantik.
Baginya, kek-kek itu umpama kanvas artis dan dia bebas mencorakkan mengikut kemahuannya.
“Menjadi pembuat kek memberi saya peluang untuk menjadi kreatif dan tegas,” katanya.
Berkongsi rahsia dalam menghasilkan kek yang enak, Naqi berkata perkara paling utama adalah kemahiran.
Walaupun menggunakan bahan-bahan berkualiti, jika disalahgunakan, ia tidak akan menghasilkan kek yang sempurna.
Apa yang agak melucukan, menghantar kek bagi Naqi adalah bahagian yang paling sukar dalam pekerjaannya.
Ini kerana kebanyakan keknya adalah tinggi. Bahagian atas kek paling mudah tergelincir jika perlu memandu jauh.
Ketika ditanya apa yang perlu dipertimbangkan sebelum melakukan perubahan kerjaya yang radikal seperti ini, Raqi berkata seseorang itu perlu berhati-hati dan ambil masa untuk memikirkannya terlebih dahulu.
“Tentukan sama ada kerjaya sekarang sesuai dengan anda dan pilih yang memberi kepuasan kepada anda. Percayalah, anda akan lebih bahagia selepas menceburi kerjaya yang anda gemari.
“Pada akhirnya, kesihatan fizikal dan mental anda adalah yang paling utama. Lupakan apa kata orang. Mereka akan tetap bercakap. Utamakan diri anda,” katanya.
Lapar? Apa kata anda jenguk Triad of Batter’s di Instagram atau WhatsApp Naqi di 010-5270545.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]